suria

Penuntut Mesir Bersyukur Selamat Tiba di Tanah Air

SEPANG: Sekumpulan penuntut Malaysia yang tiba dari negara bergolak Mesir menyanyikan lagu kebangsaan 'Negaraku' sejurus keluar di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu.

Mereka rata-rata bersyukur penerbangan yang dinaiki di bawah proses evakuasi Ops Piramid 2, selamat mendarat di tanah air.

Antara penuntut yang tiba di KLIA awal pagi Rabu ialah pasangan kembar Muhammad Rafiq dan Muhammad Rafiee Azman, 21, dan rakan mereka iaitu pasangan adik-beradik Mohd Salamuddin Mohd, 21, dan Mohd Taqiyuddin Mohd, 23.

Bercakap kepada Bernama, Muhammad Rafiq melahirkan kesyukuran dapat pulang ke Malaysia lebih-lebih lagi ketika umat Islam masih merayakan Aidilfitri dan negara bakal menyambut Hari Kemerdekaan ke-56 beberapa hari lagi.

"Keadaan di sana makin tak menentu. Asrama kami dipecah masuk jadi keselamatan tidak lagi terjamin," kata penuntut tahun dua pengajian bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, Kaherah itu.

Muhammad Rafiq berkata beliau mahu menyambung pengajiannya di Mesir jika keadaan mengizinkan kerana mahu mendalami pengajian bahasa Arab daripada mereka yang mentuturinya sebagai bahasa ibunda.

Bapa mereka, Azman Hashim, 50, dari Sungai Petani, Kedah, berkata beliau lega apabila mendapat berita anak-anaknya akan dibawa pulang dan kerap mendapatkan maklumat terkini melalui bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara.

Ditanya sama ada beliau akan membenarkan anaknya menyambung pengajian di negara bergolak itu, Azman berkata ia terserah kepada mereka untuk membuat keputusan sewajarnya.

Seramai 744 rakyat Malaysia tiba di KLIA dari Mesir awal pagi tadi dengan menaiki empat pesawat.

Pesawat AirAsia membawa 372 orang ialah yang pertama tiba kira-kira 5.30 pagi, diikuti pesawat Malaysia Airlines (MAS) dengan 287 penumpang beberapa jam kemudian, Singapore Airlines (76) and Emirates (sembilan).

Media sebelum ini melaporkan semua penuntut Malaysia di Mesir yang berdaftar di bawah program evakuasi akan dibawa pulang ke tanah air selewat-lewatnya pada Jumaat. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain