suria

Kementerian Sumber Manusia Tolak Permohonan Ratusan Syarikat Tangguh Gaji Minimum

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia menolak permohonan ratusan majikan tempatan yang meminta supaya kerajaan menangguhkan syarat gaji minimum berkuat kuasa 1 Januari depan.

Menteri berkenaan Datuk Richard Riot berkata permohonan paling tinggi adalah daripada syarikat yang terlibat dalam Industri Kecil Sederhana (IKS) selain syarikat besar yang mendapat keuntungan jutaan ringgit setahun.

"Kita masih terima permohonan penangguhan minggu lepas, banyak permohonan telah kita tolak. Kita sangat tegas dalam soal ini dan majikan mesti mematuhi peraturan itu mulai 1 Jan 2014," katanya kepada pemberita selepas merasmikan forum dua hari 'Kepimpinan Usahawan' yang dihadiri kira-kira 100 pengusaha IKS di sini, Selasa.

Beliau berkata penguatkuasaan gaji minimum itu merupakan arahan kerajaan menerusi Perintah Am dan jika ia gagal dipatuhi, Malaysia tidak akan mencapai status negara maju pada 2020.

Arahan gaji minimum RM900 untuk Semenanjung Malaysia dan RM800 untuk Sarawak dan Sabah dibuat Majlis Perundingan Gaji Negara yang telah melaksanakan pelbagai kajian termasuk implikasi terhadap syarikat dan negara dan majlis itu diwakili enam persatuan majikan, enam wakil kesatuan sekerja dan enam wakil kementerian, katanya.

Sementara itu, Riot berkata Kementerian Sumber Manusia sedang melaksanakan kajian mengenai keperluan tenaga buruh asing di dalam negara.

"Kajian itu untuk melihat keperluan industri negara terhadap buruh asing, kita tidak mahu terlalu ramai pekerja asing di negara kita," katanya ketika ditanya mengenai pekerja asing yang mencecah 1.4 juta orang pada masa ini.

Beliau berkata Kementerian Sumber Manusia Bangladesh juga menawarkan tenaga kerjanya kepada Malaysia dan bersedia menghantar 1,000 orang seminggu.

Mengenai tenaga kerja tempatan, Riot menjelaskan Malaysia masih kekurangan tenaga mahir dan kerajaan menetapkan sasaran 50 peratus daripada 20.8 juta pekerja tempatan terdiri daripada pekerja mahir menjelang 2020.

Pada masa ini, katanya, jumlah tenaga pekerja mahir dalam kalangan rakyat tempatan hanya 20 peratus. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain