suria

Kebimbangan Malaysia Berhubung TPP Ditangani - Kaukus

BANDAR SERI BEGAWAN: Kebimbangan Malaysia berhubung hasil rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kini ditangani dengan teliti, kata Pengerusi Kaukus Parlimen Malaysia mengenai TPP, Datuk Wira Ahmad Hamzah.

Beliau berkata perunding Malaysia dianggap "tegas" kerana mereka mengambil bahagian secara aktif dalam rundingan dengan membangkitkan semua isu-isu yang menjadi kebimbangan rakyat Malaysia apabila perjanjian TPP itu dilaksanakan. "Walaupun butir-butir rundingan tidak boleh didedahkan lagi, kita cukup yakin, dengan usaha-usaha yang dibuat oleh pegawai-pegawai kita yang berunding, mereka sebenarnya menjaga kepentingan Malaysia secara keseluruhan.

"Apa yang baik dalam rundingan ini adalah tiada apa yang dipersetujui sehingga segala-gala persetujuan dicapai," katanya kepada Bernama di luar pusingan ke-19 rundingan TPP di sini.

Dua belas negara berkumpul di sini untuk pusingan ke-19 rundingan, termasuk Jepun, yang muncul buat pertama kalinya dalam rundingan lepas di Kota Kinabalu.

Selain Malaysia, Jepun dan negara tuan rumah Brunei, Australia, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam mengambil bahagian dalam pusingan ke-19 rundingan itu yang berlangsung mulai 22 hingga 30 Ogos. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain