suria

Empat Lelaki Larikan Kereta Ahli Perniagaan Selepas Menembaknya

KUANTAN: Empat lelaki menembak seorang ahli perniagaan dan melarikan keretanya ketika mangsa mahu mendaftar masuk di sebuah hotel di Jalan Air Putih di sini awal pagi Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, SAC Mohd Zakaria Ahmad berkata mereka memukul Lee Siew Meng, 42, dengan benda keras dan tajam sebelum salah seorang daripada mereka melepaskan dua das tembakan yang mengenai bahu kanan dan rusuk kiri mangsa.

Lee telah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Mangsa dari Kuala Terengganu tiba di hotel itu kira-kira 4.15 pagi.

Mohd Zakaria berkata pegawai perubatan hospital memaklumkan bahawa mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan untuk mengeluarkan peluru di badannya.

Beliau berkata pihak polis percaya kejadian bermotifkan menyamun kenderaan kerana beg duit mangsa bersama wang tunai RM988 tidak dilarikan.

Beliau merayu saksi kejadian agar menghubungi mana-mana balai polis. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain