suria

RM150,000 Untuk Penerima Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang

KUALA LUMPUR: Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) menawarkan hadiah RM150,000 untuk pemenang Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang bagi menghargai sumbangan individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap usaha-usaha perpaduan dan integrasi nasional.

Pengerusi Huazong Tan Sri Pheng Yin Huah berkata anugerah itu terdiri daripada dua kategori ialah Anugerah Perpaduan Cemerlang untuk seorang penerima dan Anugerah Perpaduan Gemilang.

Pemenang tunggal Anugerah Perpaduan Cemerlang akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 dan sijil penyertaan, manakala lima pemenang Anugerah Perpaduan Gemilang masing-masing akan menerima wang tunai RM10,000 beserta sijil penyertaan.

"Penganjuran ini bertujuan menggalakkan lebih ramai individu dan NGO menyumbang ke arah perpaduan selain memupuk semangat integrasi dalam kalangan rakyat," katanya pada sidang akhbar mengenai anugerah itu di sini Selasa.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup.

Pheng berkata penyertaan terbuka kepada setiap lapisan masyarakat kecuali parti politik dan tarikh tutup penyertaan ialah 27 November.

"Antara kriteria pemilihan adalah individu atau NGO yang banyak menganjurkan aktiviti melibatkan dua atau lebih kaum dan impaknya tersemai dalam kalangan rakyat di negara ini," katanya.

Sementara itu, Kurup berkata nama Usman Awang diguna untuk anugerah itu kerana Sasterawan Negara itu antara tokoh yang mempunyai semangat dan pandangan positif yang jelas mengenai integrasi.

"Dalam setiap karyanya, beliau menggalakkan keharmonian dan perpaduan tanpa mengira warna kulit, kaum dan agama sehinggakan beliau disanjung tinggi setiap lapisan rakyat di negara ini," katanya.

Borang pencalonan dan maklumat lanjut mengenai anugerah itu boleh didapati di laman web www.huazong.my dan www.jpnin.gov.my atau menghubungi sekretariat penganjuran di talian 03-22734008. - BERNAMA

Artikel Lain