suria

Nelson Mandela Dihargai Sebagai Ikon Keamanan & Kebebasan Global

PUTRAJAYA: Bekas Presiden Afrika Selatan Nelson Mandela pada Selasa diiktiraf sebagai 'Lifetime Campaigner for Peace and Freedom of the Mahathir Award for Global Peace'. (Aktivis Sepanjang Hayat bagi Keamanan dan Kebebasan Anugerah Mahathir untuk Keamanan Global)

Ikon global bagi keamanan dan kebebasan berusia 95 tahun itu yang memainkan peranan penting dalam menamatkan dasar aparteid, sekali gus membebaskan rakyatnya, merupakan penerima sulung anugerah tersebut.

Anugerah itu disampaikan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden Afrika Selatan Jacob Zuma bagi pihak Mandela yang kini dirawat di hospital di Pretoria susulan jangkitan paru-paru berulang.

Zuma berada di negara ini bagi lawatan kerja tiga hari.

Turut hadir pada majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut hadir isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Keamanan Global Mahathir, Tan Sri Lim Kok Wing.

Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata Mandela merupakan pemimpin yang menyatukan sebuah negara tatkala yang lain memecahbelahkannya.

"Berdepan dengan pilihan antara membalas dendam dan mengubat luka, Mandela menunjukkan keamanan harus bermula di rumah. Amalan ke arah keamanan bermula dengan komitmen peribadi iaitu memaafkan dan berbelas kasihan," kata Najib.

Katanya Mandela menggerakkan seluruh negara untuk berfikir bahawa peluang akan wujud jika mereka bersatu.

"Kata-kata dan tindakan beliau, terutama ketika ketegangan memuncak, diluah dan dilaksana berasaskan kebijaksanaan yang lahir daripada pengalaman dan kemurahan hati," katanya.

Menurut Najib, Mandela tidak menuruti tuntutan dendam sebaliknya menunjukkan komitmennya kepada negara adalah lebih utama sekali gus memberi harapan kepada dunia, bahawa perdamaian itu walaupun sukar dan mungkin tidak akan tercapai sepenuhnya, tetap berbaloi untuk diusahakan.

Sementara itu Dr Mahathir berkata Mandela adalah seorang yang tenang, yang bukan sahaja membawa keamanan di Afrika Selatan tetapi juga dunia.

"Saya teringat kali pertama bertemu Mandela di Zambia, sejurus selepas beliau dibebaskan daripada Robben Island, saya sangka akan berdepan sama ada seorang lelaki yang patah semangat ataupun perengus selepas 27 tahun dipenjarakan.

"Akan tetapi lelaki yang saya jumpa itu sangat rasional yang hanya memikirkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Afrika Selatan," katanya.

Anugerah Mahathir untuk Keamanan Global itu merupakan anugerah antarabangsa daripada Yayasan Keamanan Global Mahathir sebagai sumbangan ke arah usaha keamanan sejagat.

Pelancaran anugerah itu bertujuan memberi inspirasi dan memotivasi individu dan organisasi untuk bekerja ke arah keamanan dan membangunkan kepimpinan untuk keamanan dalam kalangan belia generasi sekarang dan masa depan.

Anugerah Mahathir untuk Keamanan adalah idea Tan Sri Lim Kok Wing yang pernah bekerjasama erat dengan negarawan Dr Mahathir dan Mandela. - BERNAMA

Artikel Lain