suria

Beberapa Kawasan Catat IPU Sederhana Hari Ini - JAS

KUALA LUMPUR: Kualiti udara di beberapa kawasan di negara ini dilapor berkeadaan sederhana pada Selasa ekoran kewujudan beberapa titik panas di dalam negara dan di Sumatera, Indonesia pada Isnin.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat pukul 3 petang Selasa merekodkan 35 kawasan berada pada tahap sederhana dan 15 lagi baik.

Kawasan yang mencatat bacaan sederhana antaranya Tanjung Malim, Perak (91); Bukit Rambai, Melaka (83); Pelabuhan Klang (65), Putrajaya (55) dan Cheras (53), demikian menurut Jabatan Alam Sekitar dalam kenyataan, di sini.

Kualiti baik pula dicatatkan antaranya di Larkin Lama, Johor (50); Labuan (47); Balok Baru, Kuantan, Pahang (49); Miri, Sarawak (49) dan Paka, Terengganu (40).

JAS dalam kenyataan itu berkata terdapat 488 titik panas dikesan di Sumatera dan lima di Malaysia, iaitu empat di Pahang dan satu di Sabah.

JAS turut memaklumkan perintah larangan pembakaran terbuka di bawah seksyen 29AA (2) Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2001 yang dikeluarkan Jun lalu masih berkuat kuasa sehingga kini.

Perintah larangan itu dikeluarkan bagi Perak, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Selangor, Melaka dan Johor.

Orang ramai juga diminta melaporkan aktiviti pembakaran terbuka kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat menerusi 999 atau JAS di talian 1-800-88-2727. - BERNAMA

Artikel Lain