suria

Ops Cantas: Dua Anggota Kongsi Gelap, Sepasang Suami Isteri Ditahan

KUANTAN: Dua anggota kumpulan kongsi gelap Geng 08 yang bergiat aktif di utara tanah air dan sepasang suami isteri adalah antara lima suspek pengedar dadah yang ditahan dalam Ops Cantas pada Ahad.

Suspek berusia 20 hingga 30 tahun itu ditahan dalam operasi di Kuantan dan Temerloh.

Hasil kedua-dua serbuan itu, polis merampas 9,261.6 gram dadah heroin yang dianggar bernilai RM268,586 serta dua kereta yang digunakan suspek, kata Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Abdul Ghani.

Beliau berkata dua anggota kumpulan kongsi gelap itu yang berstatus Orang Sekatan (PCO) bersabit kesalahan dadah bersama seorang rakan ditahan di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Tanah Putih di sini, Ahad.

Dalam serbuan kira-kira 12 tengah hari itu, suspek yang menaiki dua kereta jenis Honda Accord dan Perodua Myvi cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis sehingga berlaku pergelutan sebelum polis berjaya menahan mereka, katanya.

"Hasil pemeriksaan ke atas sebuah daripada kereta suspek, polis menemui dadah heroin seberat 9,090 gram," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Sharifuddin berkata ketiga-tiga suspek yang masing-masing bekerja sebagai juruteknik kilang, pemandu lori dan buruh berasal dari utara tanah air itu ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata hasil ujian ke atas ketiga-tiga mereka, seorang daripadanya didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

Kegiatan pengedaran dadah yang didalangi dua anggota geng 08 itu dipercayai cuba menjadikan daerah ini sebagai lokasi baharu untuk mengedar bahan terlarang itu, katanya.

Sementara itu dalam operasi pada pukul 6 petang di Temerloh, polis menahan sepasang suami isteri berusia 21 dan 27 tahun serta merampas dadah heroin seberat 171.6 gram.

"Pasangan suami isteri itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah yang didalangi dua geng kongsi gelap terbabit," katanya sambil memberitahu lelaki yang tidak bekerja itu positif dadah Methamphetamine manakala isterinya yang bekerja sebagai jurujual negatif dadah.

"Siasatan awal mendapati dadah terbabit dibawa dari utara tanah air untuk diedar kepada pengedar dan penagih di negeri ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain