suria

MIC Sedia Menaungi Parti India Lain - Dr Subramaniam

PUTRAJAYA: MIC sedia menerima menaungi semua parti kaum India yang ada di negara ini, namun tidak akan bersetuju jika ada yang menyarankan parti itu dibubar bagi tujuan penubuhan parti baharu.

Timbalan Presidennya Datuk Seri S. Subramaniam berkata tidak wajar bagi MIC, parti tertua kaum India di Malaysia, dibubar dan hilang identitinya yang dibina sejak Ogos 1946.

"Mereka mahu MIC 'gulung', kita tidak akan setuju. Idea asal ialah semua bergabung dengan MIC dan kami bersedia untuk berbuat demikian. Akan tetapi ada sesetengah yang masih mahu mengekalkan identiti mereka.

"Lagi satu, mereka mahu jaminan jawatan tertentu. Itu bergantung kepada kemampuan kami untuk memenuhi permintaan mereka," kata Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan, pada sidang media selepas melancarkan laporan 'Malaysian Health System in Transition' (HiT), di sini Isnin.

Semalam, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa semua parti politik kaum India di bawah BN bergabung membentuk satu entiti demi kebaikan kaum India di negara ini.

Menurut Tengku Adnan tidak ada faedahnya terlalu banyak parti yang bersaing antara satu sama lain, sedangkan mereka sepatutnya bekerjasama menggubal dasar terbaik yang dapat menjamin masa depan dan memenuhi aspirasi kaum India dengan berkesan.

Kata Tengku Adnan lagi penggabungan itu penting bagi BN kerana hanya 48 peratus daripada kaum India menyokong BN pada pilihan raya umum lepas. - BERNAMA

Artikel Lain