suria

Kes Nik Nazmi Disebut Semula 26 September

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini Isnin menetapkan 26 September untuk sebutan semula kes Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nik Nazmi Nik Ahmad yang didakwa berhubung perhimpunan program 'Blackout 505', Mei lepas.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz menetapkan tarikh itu selepas peguam Eric Paulsen yang mewakili Nik Nazmi memaklumkan pihaknya telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Rabu lepas bagi membatalkan pertuduhan yang dihadapi anak guamnya.

Pada 17 Mei lepas, Nik Nazmi, 31, didakwa gagal memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dalam tempoh 10 hari sebelum penganjuran program 'Blackout 505' di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Nik Azmi yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, didakwa melakukan perbuatan itu di Stadium MBPJ, Kelana Jaya di sini, kira-kira pukul 8.30 malam, 8 Mei lepas.

Bagaimanapun Nik Nazmi yang merupakan orang kena saman dalam kes itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibuat terhadapnya mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 jika sabit kesalahan.

Sementara itu Paulsen ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, memberitahu bahawa permohonan itu difailkan atas alasan pendakwaan yang dilakukan terhadap anak guamnya berbaur politik, 'double standard' dan selektif.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin. - BERNAMA

Artikel Lain