suria

JLKN Perkenal Modul Baharu Semai Semangat Patriotik Kepada Pelatih

KUALA LUMPUR: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan memperkenalkan modul baharu "Malaysiaku Berdaulat" bagi menyemai rasa cinta kepada tanah air di kalangan pelatihnya pada sesi pengambilan akan datang, kata Ketua Pengarahnya Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

"Dalam modul ini kita akan mengadakan tayangan video, sesi ceramah, soal jawab dan kami juga akan menjemput anggota-anggota keselamatan yang terlibat dalam operasi di Lahad Datu, Sabah untuk berjumpa dan bercerita mengenai pengalaman mereka semasa operasi itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Konvoi Kemerdekaan Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) dan Skuad Muda Jabatan Latihan Khidmat Negara di sini Isnin.

Konvoi 100 anggota itu akan berlepas ke Sabah menggunakan pesawat C130 milik tentera Udara Diraja Malaysia.

Insiden pencerobohan pengganas selatan Filipina itu menggemparkan negara setelah mereka menduduki kawasan perkampungan di Lahad Datu pada 12 Feb lepas sebelum kerajaan melancarkan Operasi Daulat pada 5 Mac bagi mempertahankan kedaulatan negara.

Lapan anggota polis dan dua tentera terkorban dalam Operasi Daulat manakala 68 pengganas ditembak mati.

"Di sana mereka akan bergabung dengan 100 orang ahli BSKN yang telah menjalankan aktiviti Jelajah Merdeka sejak 24 Ogos lagi dan aktiviti ini bertujuan merapatkan hubungan anggota sukarela dari Semenanjung dan Sabah serta memupuk semangat patriotik dan cintakan negara," kata Abdul Hadi.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif GPB Corporation Sdn Bhd Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal. - BERNAMA

Artikel Lain