suria

Penerbangan Menyelamat AirAsia X Dari Kaherah Selamat Tiba

KUALA LUMPUR: Penerbangan menyelamat pertama AirAsia X Bhd dari Kaherah, membawa bersamanya 364 pelajar Malaysia, tiba dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Jumaat.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, ketua pegawai eksekutifnya, Azran Osman-Rani, berkata syarikat penerbangan kos rendah jarak jauh itu telah bekerja rapat dengan Majlis Keselamatan Kebangsaan dan lain-lain agensi kerajaan untuk memantau situasi di Kaherah.

"Saya gembira kami berjaya menghantar pesawat A330-300 dan kru kami berjaya mendapatkan semua kelulusan dan membuat urusan yang diperlukan untuk menghantar penerbangan menyelamat pertama Malaysia ke Kaherah, dalam jangka masa yang suntuk," katanya.

Azran berkata AirAsia X dijangka menghantar penerbangan menyelamat kedua sebaik sahaja ia diputuskan oleh kerajaan. - BERNAMA

Artikel Lain