suria

Muhyiddin Cadang Bakal Calon Bermusyawarah

ALOR SETAR: Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan supaya bakal calon pada pemilihan peringkat bahagian mengadakan musyawarah bagi mengelak terlalu ramai calon bertanding.

Menurutnya, kaedah musyawarah dapat mewujudkan kesatuan pemikiran untuk mencapai keputusan individu mana yang benar-benar sesuai untuk menawarkan diri pada pemilihan sejajar dengan proses transformasi parti.

Beliau menegaskan cadangan itu tidak bermaksud beliau ingin menganggu proses demokrasi dalam parti tetapi melihat ada kaedah yang boleh dilakukan bagi memilih pemimpin.

"Saya faham tak semudah seperti yang saya cadangkan tetapi langkah itu jika diambil boleh mencapai matlamat memilih pemimpin paling baik, layak, berakhlak tinggi dan dihormati," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Umno Kedah di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, di sini, Sabtu.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata proses pemilihan parti kini boleh dilakukan melalui proses pendaftaran dan siapa sahaja boleh mendaftar untuk menawarkan diri bagi jawatan tertentu dan bukan lagi melalui kaedah pencalonan seperti sebelum ini. Beliau berkata pemilihan Umno sentiasa menjadi fokus rakyat bukan sahaja di kalangan anggota parti tetapi juga di kalangan bukan Melayu.

Menurutnya, penduduk bukan Melayu di negara ini juga mahu Umno terus kuat kerana parti itu menjadi tunjang kepada kekuatan Barisan Nasional (BN) yang terdiri daripada parti komponen berbilang kaum.

Muhyiddin berkata cadangan itu bukan ditujukan kepada mana-mana individu yang telah menawarkan diri termasuk orang-orang lama dalam parti untuk bertanding tetapi ia bersifat umum.

"Saya tak sekat atau halang. Kita (perlu) lihat lebih jauh. Kita berhadapan dengan keadaan zaman yang mencabar yang menuntut pengorbanan besar untuk lihat proses pembaharuan dalam parti," katanya.

Katanya kalau ada pemimpin muda yang boleh diketengahkan, perkara itu perlu dilakukan kerana pengundi juga ingin melihat satu tenaga baharu.

Katanya, pemimpin lama juga perlu bermuhasabah kerana apabila tiba waktunya, mereka perlu memikirkan tentang masa depan parti dan bukan masa depan peribadi mereka. "Orang lama jangan anggap saya tak hargai sumbangan mereka. Mereka tetap ada peranan termasuk melalui Mubarak (Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia) dan menjadi penasihat kepada mana peringkat sekali pun. Saya pun akan sampai ke situ juga," katanya.

Beliau berkata apa yang lebih penting pada masa ini ialah menyusun lapis kepimpinan baharu yang bertenaga dan berupaya memimpin parti di peringkat nasional. "Dalam situasi yang mencabar sebelum menghadapi pilihan raya umum ke 14, proses pemilihan perlu dilaksanakan secara berkesan dan menyerlah," katanya.

Sebelum itu Muhyiddin dan isteri Puan Seri Noorainee Abdul Rahman menyertai ribuan penduduk menghadiri majlis rumah terbuka itu.

Turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Menteri Besar Perlis Azlan Man. -BERNAMA

Artikel Lain