suria

Kuil Di George Town Dipecah Masuk

GEORGE TOWN: Sebuah kuil di Lebuh Queen, di sini dipecah masuk dan mengalami kerugian lebih RM45,000 selepas beberapa barangan berharga di dalam rumah ibadat itu dicuri.

Menurut seorang anggota jawatankuasa kuil itu yang enggan namanya disiarkan, kejadian disedari pada 7 pagi oleh seorang sami yang pergi ke kuil Sri Maha Mariamman itu.

"Sami itu memaklumkan kejadian berkenaan kepada pengerusi kuil dan pemeriksaan lanjut mendapati lima buah tokong kecil yang di dalamnya ada 10 buah patung telah dirosakkan. "Sebanyak 36 biji batu permata dan sejumlah emas yang berada di bawah tiga buah patung hilang. Anggaran kerugian yang dialami lebih RM45,000," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini, Jumaat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi berkata penjenayah dipercayai masuk melalui pintu pagar belakang kerana selak pintu pagar itu bengkok.

Beliau berkata tiada kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan meminta sesiapa yang melihat kejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis untuk membantu siasatan. -BERNAMA

Artikel Lain