suria

Jenazah Anggota Malbatt Dijangka Dibawa Pulang Isnin Ini- Anifah

KUALA LUMPUR: Jenazah anggota pengaman Malaysia Allahyarham Sarjan Rosdi Mohamad Zan, yang terlibat dalam satu nahas jalan raya ketika bertugas di Beirut, Lubnan dijangka dibawa pulang ke tanah air Isnin ini.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, dalam satu kenyataan hari ini, berkata Kedutaan Besar Malaysia akan bekerjasama dengan Batalion Malaysia (Malbatt), Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil) dan Kementerian Pertahanan untuk proses membawa pulang jenazah. Jenazah Rosdi kini ditempatkan di Hospital Tinbin, Selatan Lubnan.

Anifah mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Rosdi dan melahirkan rasa simpati kepada dua lagi rakan mangsa, Lans Koperal Norsyahied Taib dan Lans Koperal Mohamad Aizuwan Atan, yang turut terlibat dalam nahas itu.

Norsyaheid, yang mengalami kecederaan serius, kini dirawat di Hospital St George, Beirut manakala Aizuwan, yang cedera ringan, dirawat di Hospital Tibnin dan dijangka dipindahkan ke Hospital Unifil di Naquora, selatan Lubnan.

Semalam, ketiga-tiga anggota pengaman itu terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada 5.30 petang waktu tempatan semasa bertugas di Houla selepas kenderaan kembalik dipandu Rosdi terbabas ketika menunda kenderaan berperisai kondor milik Malbatt yang rosak. -BERNAMA

Artikel Lain