suria

Dua Pelajar Malaysia Hilang Di Kaherah

MELAKA: Dua pelajar Malaysia di Kaherah dari Melaka dilaporkan hilang sehari sebelum proses membawa pulang mereka dari negara bergolak, Mesir dimulakan.

Dua pelajar lelaki terbabit dalam usia awal 20-an, terlebih dahulu melaporkan diri mereka di Rumah Melaka di Kaherah ketika ketegangan berlaku di negara itu tetapi menghilangkan diri sebelum proses membawa pulang mereka ke Kuala Lumpur dilakukan pada Selasa.

Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi, Datuk Md Yunos Husin berkata dua pelajar terbabit meninggalkan rumah mereka yang diuruskan kerajaan negeri tanpa memaklumkan kepada pegawai yang bertugas menjaga kebajikan pelajar di negara itu.

"Saya diberitahu bahawa mereka berdua belum ditemui walaupun usaha mencari sedang dilakukan pada Selasa bagi memastikan mereka kembali ke tanah air bersama dengan pelajar-pelajar lain," katanya.

Md Yunos berkata ibu bapa kedua-dua pelajar terbabit telah dimaklumkan mengenai status mereka.

Katanya, kedua-dua pelajar terbabit adalah antara 20 pelajar dari Melaka yang sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat.

"Kami meneruskan operasi mencari dan bekerjasama dengan Wisma Putra dan beberapa pegawai Majis Keselamatan Negara (MKN) yang berpangkalan di Kaherah," katanya.

Sementara itu, Malaysia Airlines (MAS) berkata, mereka akan menggunakan tiga pesawat miliknya untuk membawa pulang pelajar Malaysia di Mesir.

Pesawat pertama, MH8100, akan meninggalkan Kuala Lumpur pada pukul 11.10 pagi Sabtu dan dijangka tiba di Kaherah pada pukul 3 petang waktu tempatan.

Dua lagi pesawat akan berlepas pada Isnin dan Selasa pada waktu yang sama.

MH8100 turut akan membawa beberapa pegawai kerajaan Malaysia dan pasukan operasi dari MAS.

Artikel Lain