suria

Calon Pemilihan Umno Perlu Nilai Diri - Shaziman

TAMPIN: Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata beliau belum memutuskan sama ada akan mempertahan jawatannya itu atau tidak pada pemilihan parti akan datang.

Shaziman berkata beliau ingin menilai diri sendiri selain mengenal pasti sama ada peranannya masih relevan untuk Umno bagi meneruskan perjuangan parti di bawah moto 'Demi Agama, Bangsa dan Negara'.

Anggota Parlimen Tampin itu berkata bertanding atau tidak, bukanlah isu penting kepada beliau, sebaliknya bagaimana parti boleh diremajakan dan mendapat semula zaman kegemilangan Umno. "Saya lebih minat untuk melihat calon yang bertanding ini membawa transormasi bagi mengembalikan kegemilangan Umno... bukan pemimpin yang cakap tak serupa bikin," katanya kepada pemberita pada jamuan Aidilfitri pemimpin bersama masyarakat di sini, Sabtu.

Beliau berkata jika ingin menjadi pemimpin dalam Umno, walau di peringkat mana sekalipun, perlu ada perasaan malu dan harus berundur jika melakukan kesilapan kerana tindakan mereka terus menawarkan diri untuk bertanding akan menyebabkan parti diketawakan selain sokongan rakyat terus hilang.

"Umno ada 'pakaiannya', 'pakaiannya' adalah menjaga identiti serta disiplin, dan kalau ada kesilapan, janganlah tawar diri (untuk bertanding) kerana ini sudah lari jauh daripada ungkapan perjuangan 'Demi Agama, Bangsa dan Negara'," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain