suria

V.K. Linggam, 24 Yang Lain Diperintah Jawab Tuduhan Hina Mahkamah

PUTRAJAYA: Peguam Datuk V.K. Lingam dan 24 yang lain diperintahkan oleh Mahkamah Persekutuan di sini, Jumaat untuk menjawab pertuduhan menghina mahkamah kerana mendakwa panel Mahkamah Persekutuan telah memplagiat satu penghakiman.

Hakim Mahkamah Tinggi Tan Sri Suriyadi Halim Omar, mempengerusikan panel lima hakim, berkata tidak ada kesalahan prosedur apabila dua penyelesai memperoleh kebenaran untuk mendakwa mereka bagi menghina mahkamah.

"Kami berpuas hati bahawa kes prima facie telah dibuktikan terhadap mereka," katanya.

Hakim Suriyadi berkata selepas menimbangkan semua keterangan yang dikemukakan di mahkamah, ia (mahkamah) mendapati permohonan yang dikemukakan oleh Lingam dan 24 yang lain untuk mengenepikan kebenaran itu adalah tanpa merit.

Panel itu yang turut dianggotai hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah, Datin Paduka Zaleha Zahari dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha, sebulat suara menolak permohonan Lingam dan 24 yang lain untuk membatalkan kebenaran diperoleh dua penyelesai bagi Kian Joo Holdings Sdn Bhd (KJH), Ooi Woon Chee dan Ng Kim Tuck, untuk mereka dikenakan tindakan menghina mahkamah. Mahkamah juga memerintahkan Lingam, 12 individu termasuk bekas pengarah urusan kumpulan Kian Joo Can Factory Bhd (KJCF) Datuk See Teow Chuan yang merupakan penyumbang majoriti Kian Joo Holdings, peguam A. S. Thisinayagam dan 11 lagi individu yang merupakan penyumbang minoriti KJH, untuk membayar kos perundangan. Bagaimanapun, Hakim Suriyadi berkata isu jumlah kos hanya akan diputuskan selepas usul utama diselesaikan.

Mahkamah juga memerintahkan kes itu dibawa untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh pendengaran usul itu.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Persekutuan yang telah bersara Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang mewakili Lingam, memaklumkan mahkamah yang anak guamnya mahu memberikan keterangan secara lisan.

Lingam, yang mewakili penyumbang majoriti, berkata semua anak guamnya akan memutuskan kemudian sama ada mereka mahu memberikan keterangan secara lisan. Panel itu mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak mengenai perkara itu pada Rabu dan menetapkan hari ini untuk menyampaikan keputusan.

Pada 5 Januari tahun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang memihak kepada dua penyelesai KJH untuk meneruskan penjualan 146.13 juta saham Kian Joo yang dipegang oleh KJH kepada Can-One Bhd bagi RM241.12 juta.

Pada 2009, para pemohon memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi selepas Can-One memenangi tender untuk membeli 32.9 peratus pegangan dalam KJCF.

Mereka gagal menghalang Can-One daripada memperolehi saham itu di Mahkamah Tinggi tetapi Mahkamah Rayuan mengubah keputusan itu dan kes itu dibawa ke Mahkamah Persekutuan yang membuat keputusan memihak kepada dua penyelesai itu.

Mereka memfailkan notis usul melalui Lingam, memohon Mahkamah Persekutuan menyemak semula keputusan panel terdahulu. Mereka memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan panel terdahulu Mahkamah Persekutuan dan memerintahkan pendengaran semula rayuan di hadapan panel baharu Mahkamah Persekutuan.

Dalam notis usul itu, mereka mengemukakan alasan bagi semakan itu, mendakwa penghakiman Mahkamah Persekutuan setebal 47 muka surat itu adalah penerbitan semula hujahan bertulis Ooi dan Ng, tanpa memberikan penghargaan kepada mereka.

Mereka mendakwa mahkamah tidak melakukan semakan yang adil dan bebas terhadap keterangan dan perundangan, di mana ia tidak melakukan analisis atau menghasilkan dapatan sendiri.

Pada 3 April tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada dua penyelesai itu untuk mengenakan tindakan menghina mahkamah ke atas mereka.

Pada 2 Mei tahun ini, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan semula mereka (Lingam dan 24 yang lain). -BERNAMA

Artikel Lain