SPAD Bangunkan 'Sistem Maklumat Pemandu' - Syed Hamid - Semasa | mStar

SPAD Bangunkan 'Sistem Maklumat Pemandu' - Syed Hamid

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sedang membangunkan sistem yang akan menyediakan maklumat berhubung latar belakang pemandu pengangkutan awam, termasuk rekod jenayah mereka, jika ada.

Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar berkata sistem dikenali sebagai 'Sistem Maklumat Pemandu' itu akan berdasarkan kepada maklumat yang dikemukakan kepada suruhanjaya itu dan boleh dimanfaatkan pengusaha pengangkutan awam serta pelanggannya sebaik sahaja siap.

"Kami harap dapat menyelaraskannya dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis supaya kami boleh melakukan pemeriksaan lengkap. Kami masih perlu mendapatkan maklumat daripada polis berkaitan rekod jenayah. "Kami perlu meneliti isu kerahsiaan dan perkongsian maklumat tetapi secara teknikal, sistem itu sudahpun ada," katanya pada sidang akhbar di sini, Jumaat.

Sambil menyatakan keyakinan bahawa sistem itu akan dapat dilayari secara dalam talian menjelang suku pertama tahun depan, Syed Hamid berkata berdasarkan amalan semasa, pengusaha pengangkutan awam hanya bergantung kepada temu bual untuk memperoleh maklumat latar belakang pemandu mereka.

"Kami mahu bersikap lebih telus jadi orang tak rasa cuak. Boleh periksa pemandu bas dan teksi. Pertimbangan yang paling penting adalah kami tidak mahu menjejaskan kerahsiaan atau membahayakan keselamatan. Ini mustahak," katanya.

Terdahulu Syed Hamid ditanya sama ada suruhanjaya berkenaan mempunyai maklumat mengenai pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan di Genting Highlands baru-baru ini.

Beliau berkata SPAD dimaklumkan polis bahawa pemandu terbabit pernah melakukan beberapa kesalahan sebelum ini, tetapi beliau tidak mengulas lanjut.

Syed Hamid berkata sebuah panel siasatan akan diwujudkan sebaik sahaja laporan awal kemalangan itu disiapkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

Panel itu, yang akan diterajui SPAD, akan turut dianggotai wakil dari JPJ, polis, Miros dan pakar dalam bidang jalan serta pengangkutan awam untuk menyiasat kemalangan itu.

"Lebih baik jika kita tidak menuding jari. Semak semua laporan terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan sewajarnya. Ini (Genting Highlands) adalah kawasan penting bukan sahaja kepada masyarakat setempat tetapi pelancong asing turut ke sana. Kami perlu mendapatkan lebih banyak maklumat, bagaimana dan mengapa kemalangan itu berlaku," katanya.

Beliau turut menegaskan bas terlibat dalam kemalangan itu telahpun melalui pemeriksaan Puspakom pada Mei lepas dan didapati layak digunakan.

Sambil mengatakan masih banyak perlu dilakukan untuk menambah baik pengangkutan awam, Syed Hamid berkata SPAD sekali lagi akan berbincang dengan pengusaha untuk meneliti perkara yang perlu diberi perhatian dalam mengambil pekerja.

Dalam insiden pada 2.22 petang Rabu, 37 penumpang terbunuh manakala 16 cedera selepas bas yang sedang dalam perjalanan dari Genting Highlands ke ibu negara terjunam ke dalam gaung sedalam 60 meter di KM3.5 Jalan Genting Highlands.

-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

Artikel Lain