'Saya Ingin Berada di Rumah ' - Azilah - Semasa | mStar

'Saya Ingin Berada di Rumah ' - Azilah

PUTRAJAYA: Doa Cif Inspektor Azilah Hadri untuk menjalani kehidupan di luar penjara setelah menghuninya selama tujuh tahun akhirnya dimakbulkan setelah Mahkamah Rayuan membebas dan melepaskannya daripada hukuman serta sabitan membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Azilah, 37, yang ditemui Bernama sebelum hakim membuat keputusan sempat menyatakan bahawa walaupun fizikalnya tidak berubah sejak didakwa atas pertuduhan itu, namun jiwanya terlalu 'kecil' dan amat berharap akan berada di rumah.

Beliau yang diiringi pegawai penjara sepanjang prosiding, kelihatan terkejut apabila keputusan panel tiga hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Seri Mohd Apandi Ali itu dibacakan.

Koperal Sirul Azhar Umar, yang dituduh bersama-samanya, pula sempat menyatakan "Terima Kasih Yang Arif" sebelum kedua-duanya dibawa keluar dari kandang tertuduh.

Azilah berkata beliau amat bersyukur kerana Allah SWT memperkenankan doanya dan berkata dengan nada suara gementar: "Saya masih lagi berdebar-debar".

"Saya perlu kembali ke Penjara Kajang untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang bertugas menjaga saya di sana...mereka menjaga saya dengan baik, saya ingin menunaikan solat Jumaat dan urusan lain akan dibuat selepas itu," katanya. Pada 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam mensabit kesalahan dan menjatuhi hukuman mati terhadap Azilah dan Sirul Azhar yang merupakan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) atas tuduhan membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.

Tunang Azilah, Nor Azila Baharuddin, 35, pula dilihat mengalirkan air mata apabila mendengar keputusan itu.

Beliau menyatakan doanya dan anggota keluarga supaya Azilah dibebaskan telah dimakbulkan Allah SWT.

Katanya sejak mereka bertunang pada 2006, beliau tidak pernah berputus asa dan sering melawat Azilah di penjara seminggu sekali.

"Saya gementar selepas keputusan dibuat, saya seperti tidak percaya. Saya amat gembira kerana inilah saat yang saya tunggu sekian lama. Syawal kali ini amat indah," katanya.

Sejak didakwa pada 2006 dan melalui proses perbicaraan, Azilah dan Sirul Azhar sentiasa menutup wajah mereka ketika berada di luar mahkamah dan kain yang menutup muka hanya dibuka selepas berada di dalam mahkamah.

Pada kebiasaannya, wajah Sirul Azhar kelihatan serius dan lebih banyak menyendiri berbanding Azilah yang ramah dengan mereka yang berada sekelilingnya.

Namun, selepas keputusan mahkamah itu, Sirul Azhar mempamerkan wajah berbeza dengan melemparkan senyuman ke arah anggota keluarganya yang berada di belakangnya.

Ketika ditanya pemberita Bernama sebelum beliau dan Azilah dibawa semula ke penjara untuk proses pembebasan, Sirul Azhar menunjukkan keramahannya sambil menyatakan kesyukuran.

"Bersyukur kepada Allah, semuanya telah selesai. Saya berterima kasih kepada barisan peguam yang membela saya dan ahli keluarga terutama ibu saya yang tidak putus mendoakan. Terima kasih kepada pihak penjara yang menjaga saya dengan baik. Saya berhasrat menjalani kehidupan seperti biasa selepas ini," katanya.

Anak lelaki Sirul Azhar yang berusia 13 tahun, turut kelihatan amat gembira dengan pembebasan ayahnya dan dia yang diiringi dua anggota keluarga terdekat sempat menyatakan amat merindui bapanya.

Bapa saudara Sirul Azhar, Mustapha Samat dari Ipoh berkata sejak Sirul Azhar didakwa, beliau hanya sempat hadir ke mahkamah sebanyak tiga kali dan tidak putus-putus berdoa supaya dia dibebaskan.

Mustapha yang tiba di Kuala Lumpur semalam dilihat menghubungi anggota keluarga untuk memberitahu keputusan mahkamah itu. -BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

Artikel Lain