suria

Polis Tahan Warden Penjara Kajang Bawa Masuk Dadah

KUALA LUMPUR: Polis membongkar kegiatan pengedaran dadah di dalam Penjara Kajang dan menangkap seorang warden berusia 34 tahun yang dipercayai menjadi orang tengah membawa masuk dadah ke penjara berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ab Rashid Ab Wahab berkata, lelaki itu yang bertugas di penjara berkenaan sejak setahun empat bulan lalu, diberkas polis pukul 11.45 pagi Rabu di hadapan sebuah pasar raya di Kajang.

Pemeriksaan polis ke atas suspek menemukan dadah jenis heroin seberat 104.8 gram di dalam poket seluarnya dan dia dipercayai baharu mengambil bekalan dadah ketika ditahan, katanya pada sidang media di sini Jumaat.

Menurut Ab Rashid, siasatan lanjut mendapati suspek sudah empat kali membawa masuk dadah ke penjara itu dan menerima upah RM800 setiap kali.

Bekalan dadah itu diserahkan oleh suspek kepada dua banduan yang bertindak sebagai pengedar di dalam penjara dan polis percaya banduan terbabit 'dilantik' oleh pengedar di luar, katanya.

"Bagi mengelak dikesan, banduan yang bertindak menjadi pengedar itu memasukkan dadah yang dimampat menjadi dua ketulan ke dalam dubur mereka," katanya.

Beliau berkata, polis juga percaya urusan pembayaran bagi pembelian dadah dalam kalangan banduan dilakukan oleh rakan atau anggota keluarga tahanan terbabit dengan pengedar di luar.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak memiliki rekod jenayah lampau. Dia direman enam hari untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain