suria

Penumpang Terselamat Kongsi Kisah Pemandu Berang Sebelum Nahas

KUALA LUMPUR: Mangsa kemalangan bas di Genting Highlands memberitahu kisah ngeri mengenai pemandu bas Lim Kok Ho (gambar) yang marah, seolah-olah tidak stabil dalam tindakannya - sejurus sebelum tragedi yang mengorbankan banyak nyawa pada pukul 2.20 petang Rabu.

"Ia seperti dia sengaja mahu membunuh kami. Dia tidak usaha membelok ke arah laluan kecemasan sebelum tiba ke kawasan di mana bas terjunam ke dalam gaung," kata Tan Ming Shing.

Tan, 26, mendakwa pemandu itu yang turut terbunuh dalam kemalangan itu, mempercepatkan kelajuan ketika menuruni cerun walaupun dia tahu brek gagal berfungsi.

"Beberapa minit minit sebelum bas terjunam ke dalam gaung, bas hampir melanggar tiang.

"Beberapa ratus meter selepas itu, pemandu membuat belok secara tiba-tiba dan menyebabkan sebuah Honda City hampir melanggar kami," katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur.

Tan, seorang pekerja dapur di Genting, berkata kedua-dua pemandu itu memberhentikan kenderaan mereka dan mula menjerit dan menunjukkan isyarat marah kepada antara satu sama lain sebelum meneruskan perjalanan masing-masing.

Tan mendakwa bahawa pemandu ada menyebut sesuatu mengenai brek yang tidak berfungsi, tetapi tidak membenarkan sesiapa untuk keluar dari bas.

"Dia (pemandu) kemudiannya secara tiba-tiba membelok lagi, dan ramai antara kami yang menjerit ketakutan. Dan bas terjunam ke dalam gaung."

Di Hospital Selayang, Rwaanok Arefin, 14, dari Kanada berkata, pemandu memandu dalam keadaan marah selepas bersemuka dengan pemandu Honda City.

"Beberapa penumpang memarahi dia dan meminta dia untuk memperlahankan pemanduan.

"Ini menimbulkan kemarahannya lagi membuatkan dia memandu dengan lebih laju. Dia kemudiannya hilang kawalan dan bas terjunam ke dalam gaung," kata Rwaanok yang bercuti bersama keluarga di Malaysia buat kali pertama.

Bapa Rwaanok, 55, Rafiq Ali Buhyia, meninggal dunia dalam kemalangan itu.

Ibunya Buhyia Rashidah, 50, dan adik Rezyan Arefin, 24, terselamat.

Bagaimanapun, Rezyan dalam keadaan kritikal.

Seorang lagi penumpang yang terselamat, Nur Syamimi Ja'afar, 25, turut meluahkan mengenai perkara yang sama.

"Saya melihat pemandu bas memberi isyarat marah kepada pemandu Honda City," katanya.

Selepas itu, pemandu bas kendengaran merungut marah dan Nur Syamimi berkata, pemandu itu memandu lebih laju.

Nur Syamimi bersama adiknya, Nur Fathiah, 21, di dalam bas ketika kemalangan berlaku.

Nur Syamimi patah lengan dalam kemalangan itu.

"Mayat-mayat yang ditemui berlumuran darah dan ramai yang menjerit kesakitan. Saya ada terdengar seorang lelaki menjerit meminta pertolongan di luar bas. Dia mungkin tercampak keluar tetapi saya tidak dapat membantunya. Saya tidak dapat menggerakkan tangan kiri saya."

Nur Syamimi, dari Terengganu, berkata bas itu sememangnya sarat dengan penumpang, kira-kira tujuh orang berdiri di dalam bas sebelum nahas berlaku.

Artikel Lain