suria

Nahas Bas di Genting: Siasatan di Lokasi Kejadian, Pemeriksaan Awal Bas Selesai - Polis

KUALA LUMPUR: Siasatan di lokasi kejadian dan pemeriksaan awal terhadap bas yang terjunam kira-kira 60 meter ke dalam gaung di KM3.5 Jalan Genting Highlands Rabu lepas, selesai pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Bentong Supritendan, Mohd Mansor Mohd Nor berkata pemeriksaan di sekitar kawasan sudah disiapkan pada 4.15 petang ini dan bas terbabit akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong untuk siasatan lanjut.

"Laporan penuh mengenai kejadian itu akan siap selepas kami menerima semua hasil siasatan daripada pihak forensik, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan pihak berkaitan.

"Kami akan mengumpul semua hasil siasatan itu dan akan membuat rumusan tentang apa sebenarnya berlaku...saya tidak dapat pastikan bila keputusan itu akan keluar, namun kami akan buat secepat mungkin," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Operasi mengeluarkan bangkai bas itu selesai pada 12.45 tengah hari tadi.

Nahas tersebut mengorbankan 37 orang termasuk pemandu bas dan mengakibatkan 16 yang lain cedera, sekali gus menjadikannya nahas bas terburuk di negara ini. -BERNAMA

Artikel Lain