suria

MAS Akan Guna Tiga Pesawat Bawa Pulang Rakyat Malaysia Dari Mesir

KLANG: Malaysia Airlines (MAS) akan menggunakan tiga pesawatnya dalam misi membawa pulang pelajar Malaysia di Mesir.

Misi menyelamat yang pertama menggunakan penerbangan MH8100, akan berlepas dari Kuala Lumpur pada Ahad, pukul 11.10 pagi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah pada pukul 3 petang (waktu Mesir).

Dua lagi pesawat akan beroperasi pada Isnin dan Selasa depan, dengan jadual yang sama.

MH8100 akan membawa pegawai rasmi Kerajaan Malaysia dan Pasukan Operasi dari Malaysia Airlines.

Pesawat terbaru dan terbesar syarikat penerbangan itu, A330-300 turut akan digunakan dalam misi menyelamat.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh MAS pada Khamis, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menjadi badan utama untuk menguruskan misi menyelamat itu.

Ia berkata, tugas MKN adalah menentukan senarai penumpang untuk diatur dengan pelbagai jenis pengangkutan ke Mesir.

Sementara itu, Malaysia Airlines akan membantu MKN untuk memberi kemudahan dari segi proses pemindahan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, syarikat penerbangan itu sentiasa bersedia untuk membantu rakyat Malaysia daripada pergolakan yang berlaku di Mesir.

"Pasukan kami bertugas setiap masa bagi memastikan misi ini berjaya dan akan terus membantu MKN dan Kerajaan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Artikel Lain