Mahkamah Rayuan Bebaskan Dua Polis Daripada Tuduhan Bunuh Altantuya - Semasa | mStar

Mahkamah Rayuan Bebaskan Dua Polis Daripada Tuduhan Bunuh Altantuya

Altantuya Shaariibuu.
Altantuya Shaariibuu.

PUTRAJAYA: Dua anggota unit tindakan khas polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar terlepas daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan di sini, Jumaat melepaskan dan membebaskan mereka daripada tuduhan membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, tujuh tahun lepas.

Tiga anggota panel hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengetepikan hukuman mati yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas membenarkan rayuan mereka terhadap pensabitan dan hukuman.

Dalam rumusan penghakiman empat muka surat itu, mahkamah memutuskan bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah tersalah arah dalam mensabitkan mereka.

Hakim Tengku Maimun yang membacakan penghakiman itu berkata hakim perbicaraan telah tersalah arah dirinya dengan cara tanpa arah gagal mempertimbangkan diari stesen dan gagal membuat dapatan sama ada pihak pembelaan telah menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan bahawa Azilah, yang merupakan tertuduh pertama dalam kes ini, berada di tempat kejadian jenayah.

Tengku Maimun berkata mengenai alibi pembelaan Azilah Hadri, mahkamah tidak menemui mana-mana dalam alasan penghakiman hakim perbicaraan yang beliau telah menimbangkan sama ada diari stesen menunjukkan atau cenderung menunjukkan tentang kehadiran Azilah pada masa berkenaan dan dia tidak akan boleh atau tidak mungkin berada di tempat kejadian jenayah.

Suasana di mahkamah senyap seketika semasa hakim menyampaikan penghakiman sementara Azilah, 34, dan Sirul Azhar, 39, kelihatan tenang selepas keputusan dibacakan.

"Melihat kepada keadaan keseluruhan kes ini, pertimbangan kami ialah kesan kumulatif bukan arahan oleh hakim perbicaraan yang bijaksana itu menjadikan sabitan perayu tidak selamat. Kami sebulat suara membenarkan kedua-dua rayuan ini," kata Hakim Tengku Maimun.

Kedua-duanya disabitkan dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 2009 kerana membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara pukul 10 malam, 19 Okt dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, yang dituduh bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008 selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

Hakim Tengku Maimun berkata amat penting untuk hakim perbicaraan menumpukan pada cabaran dibangkitkan oleh pihak pembelaan mengenai eksibit dan untuk membuat dapatan sama ada terdapat pindaan atau gangguan terhadap data dan sama ada ketulenan data boleh dipersoalkan atau tidak.

"Apa yang dikesalkan, hakim mahkamah tinggi gagal berbuat demikian, yang dalam penghakiman kami adalah penyalaharahan yang serius sehingga tidak boleh bergantung kepada eksibit itu yang dikatakan tidak kukuh," kata hakim.

Bagi alasan lain, mahkamah memutuskan hakim perbicaraan juga tidak memberi perhatian dan tidak memeriksa sama ada wujud percanggahan dan ketidakkonsistenan keterangan saksi-saksi pendakwa.

Katanya hakim perbicaraan juga tidak memeriksa kredibiliti saksi-saksi pendakwa dan tidak memberi perhatian sama ada Azilah dan Sirul Azhar telah menimbulkan keraguan mengenai ketepatan kenyataan mereka mengikut Seksyen 27 Akta Keterangan 1950.

Hakim Tengku Maimun juga berkata hakim perbicaraan tidak memikirkan sama ada penemuan tempat jenayah dan barangan kemas si mati adalah hasil daripada maklumat diberikan oleh dua anggota polis itu dan bukannya daripada sumber lain.

Beliau berkata mahkamah mendapati berlaku keadaan tanpa arah oleh hakim perbicaraan apabila gagal menilai keterangan sebelum menerima kenyataan itu mengikut Seksyen 27.

Bagi alasan lain, Hakim Tengku Maimun berkata mahkamah mendapati tiada sebarang keterangan untuk menunjukkan sebarang kaitan antara selipar dengan kesan darah Altantuya yang ditemui dalam jip Sirul Azhar, dengan beliau (Sirul Azhar).

Beliau berkata pihak pendakwa tidak menutup jurang dalam kesnya dalam isu itu. Serupa juga, kata hakim, dengan katrij yang ditemui dalam kereta Sirul Azhar yang merupakan tertuduh kedua, mahkamah mendapati wujud jurang dalam kes pendakwa di mana hakim perbicaraan gagal memberikan perhatian.

Akhir sekali, mahkamah memutuskan kegagalan pihak pendakwa memanggil atau menawarkan pemeriksaan balas ke atas DSP Musa Safri yang ketika itu pengawal Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, mungkin mencetuskan inferens berbeza di bawah Seksyen 114 (g) Akta Keterangan, terhadap pihak pendakwa.

"Ingin dinyatakan, dengan tidak memanggil DSP Musa, mengenai fakta kes ini, sedangkan keterangan DSP Musa amat penting untuk mendedahkan naratif bahawa kes pendakwa berdasarkan apa," kata hakim.

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Artikel Lain

Meghan Markle hamil anak ke-2?