suria

Kumpulan Bantah TPPA Desak Kerajaan Batal TPPA, Serah Memo Bantahan Di Kedutaan AS

KUALA LUMPUR: Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) terus dibantah apabila kumpulan Badan Bertindak Bantah TPPA (Bantah TPPA) pada Jumaat mengadakan bantahan aman di luar bangunan Kedutaan Amerika Syarikat (AS).

Pengerusi Bantah TPPA Nizam Mahshar berkata perhimpunan itu diadakan bagi menuntut kerajaan membatalkan rundingan dan pelaksanaan TPPA yang disifatkan sebagai bentuk penjajahan alaf baru.

"Kami menyeru kerajaan- kerajaan yang menyertai TPPA untuk menolak sebarang usaha menundukkan rakyat dan negara ini dengan perangkap ekonomi yang tersembunyi di balik tabir oleh syarikat-syarikat Amerika.

"Kami mewakili semua kaum, budaya, kepercayaan, kepentingan, pekerjaan, kerjaya dan dagangan mengumumkan bahawa kami dengan jelas menolak sebarang keputusan perundingan TPPA jika pandangan, kebimbangan dan tuntutan kami tidak dilibatkan dengan cara sepatutnya," katanya kepada pemberita di hadapan Kedutaan Amerika, di sini.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu berkata perjanjian tersebut adalah satu perjanjian mudarat dan akan memberi kesan kepada kedaulatan negara.

Beliau turut mendakwa perjanjian itu juga akan memperjudikan kesejahteraan ekonomi dan menyebabkan kesusahan kepada rakyat.

Dalam pada itu, dua wakil daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah gabungan Bantah TPPA iaitu Setiausaha Agung Persatuan Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) J.Solomon dan Setiausaha Majlis Aids Malaysia, Hisham Hussein telah menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil di kedutaan.

Hisham berkata sebelum memorandum diserahkan, ia terlebih dahulu dibaca di hadapan wakil berkenaan.

"Beliau akan menyerahkan memorandum kepada seksyen ekonomi dan bersedia mengadakan perbincangan selanjutnya dengan Bantah TPPA pada masa akan datang," katanya.

Terdahulu kumpulan Bantah TPPA berhimpun di luar bangunan Tabung Haji di sini sebelum berarak sambil memegang sepanduk menuju kedutaan AS.

Bantah TPPA terdiri daripada 10 gabungan NGO termasuklah NUBE, MAC dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

TPPA merupakan perjanjian mirip kepada Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) melibatkan perdagangan pelbagai hala dengan banyak negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Malaysia, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnamdan Jepun.

Artikel Lain