suria

Kes Curi Kereta: Tiga Lelaki Ditangkap

BESUT: Polis berjaya menyelesaikan lima kes kehilangan kereta termasuk yang terbaharu di Melaka Tengah dan Pengkalan Chepa, Kelantan dengan tertangkapnya tiga lelaki pada Selasa dan semalam di Besut.

Pemangku Ketua Polis Besut DSP Noor Zainy Mohd Noor berkata berikutan tangkapan itu polis menemui semula kereta jenis Proton Satria yang hilang di Melaka Tengah dan kereta jenis Perodua Kancil di Pengkalan Chepa, Kelantan semasa musim perayaan baru-baru ini.

Ketiga-tiga suspek merupakan penduduk tempatan berumur antara 30 hingga 43 tahun, katanya pada sidang media Ibu Pejabat Polis Kampung Raja di sini, Khamis.

Mereka kini ditahan reman hingga Sabtu. Noor Zainy juga memberitahu bahawa polis menahan dua lelaki berumur 32 dan 39 tahun dan merampas 100 biji pil Methamphetamine di dua tempat.

Katanya sejumlah wang tunai turut dijumpai daripada seorang lelaki yang ditahan itu dan motosikal yang dimilikinya juga sebuah motosikal curi yang hilang di Pasir Akar, Hulu Besut pada 10 Ogos lalu. -BERNAMA

Artikel Lain