suria

Calon PKR Kota Marudu Dakwa Wujud Percanggahan Dalam Keputusan

KOTA KINABALU: Mahkamah Pilihan Raya di sini, Jumaat diberitahu oleh calon PKR bagi kerusi Parlimen Kota Marudu bahawa terdapat percanggahan antara jumlah undi dalam Borang 14 dan keputusan akhir yang diwartakan.

Borang 14 adalah untuk merekodkan jumlah undi yang diperoleh setiap calon dan bilangan undi rosak.

"Saya percaya dan menyatakan bahawa percanggahan ini disebabkan, iaitu sekurang-kurangnya sebahagian, tidak menyerahkan Borang 14 yang diperlukan. "Sehubungan itu, Borang 14 yang tidak diserahkan itu, pada pendapat saya, sama ada telah menjejaskan keputusan pilihan raya itu atau berpotensi untuk berbuat demikian," kata Datuk Maijol Mahap pada perbicaraan petisyen hari keempat.

Mahap menjelaskan di 12 pusat pengundian, wujud percanggahan antara undi yang tidak dikira atau kertas undi yang tidak dikembalikan yang tertera di dalam Borang 14 dan keputusan yang diwartakan.

Beliau mendakwa terdapat 1,476 kertas undi yang tidak dikembalikan atau kertas undi yang tidak dikira tetapi keputusan yang diwartakan menunjukkan hanya 48.

Beliau berkata keseluruhan proses pilihan raya kawasan Kota Marudu kurang telus dan akauntabiliti kerana kegagalan ketua tempat mengundi menyerahkan salinan Borang 14 kepada ejen pilihan raya seperti yang diminta.

"Ini menyebabkan wujud ketaksamaan dan kesangsian keseluruhan proses dan saya mengatakan keputusan itu mungkin berbeza jika peraturan ini dipatuhi," katanya.

Dalam petisyen itu, Mahap menamakan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang memenangi kerusi Parlimen Kota Marudu sebagai responden pertama, pegawai pengurus pilihan raya Lovita Koisun sebagai responden kedua dan responden ketiga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pada 13 Ogos lepas, Hakim Datuk Yew Jen Kee memutuskan supaya dakwaan amalan rasuah terhadap Ongkili digugurkan daripada petisyen itu, tetapi Ongkili kekal sebagai responden kerana beliau merupakan pemenang kerusi berkenaan.

Dalam petisyen itu, antara lain, Mahap mendakwa Borang 14, yang merekodkan jumlah undi yang diperoleh setiap calon serta bilangan undi rosak, tidak diberi kepada ejen pilihan raya PKR.

Ongkili, yang mewakili Barisan Nasional, memenangi kerusi itu dengan majoriti 842 undi selepas memperoleh 15,168 undi dalam pertandingan empat penjuru manakala Mahap meraih 14,326 undi, calon Star Majamis Timbong (2,228 undi) dan Yuntau alias Kuntau Kolod (SAPP) hanya mendapat 444 undi. -BERNAMA

Artikel Lain