suria

Azilah Tinggalkan Penjara Kajang, Sirul Dibebaskan Dari Penjara Tapah

KUALA LUMPUR: Anggota polis Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar meninggalkan penjara masing-masing pada Jumaat selepas dilepaskan dan dibebaskan daripada hukuman serta sabitan membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar mengesahkan Azilah meninggalkan Penjara Kajang pada pukul 11.45 pagi selepas selesai proses dokumentasi.

Koperal Sirul Azhar pula dibebaskan dari Penjara Tapah.

"Azilah balik dari Mahkamah Rayuan Putrajaya untuk beberapa proses dokumentasi serta mengambil barang kepunyaannya sebelum meninggalkan penjara bersama keluarganya," katanya Zulkifli ketika dihubungi di sini.

Mahkamah Rayuan Putrajaya pada sebelah pagi, melepaskan dan membebaskan Azilah dan Sirul Azhar daripada tuduhan membunuh Altantuya tujuh tahun lepas.

Tiga anggota panel hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengetepikan hukuman mati yang dikenakan Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar terhadap pensabitan dan hukuman.

Sementara itu, seorang daripada peguam bela Azilah, J. Kuldeep Kumar berkata Azilah meninggalkan Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 11 pagi dengan menaiki van polis dan tiba di Penjara Kajang, kira-kira 20 minit kemudian untuk urusan dokumentasi. "Setelah selesai proses mendapatkan surat akuan pembebasan sebelum dibenarkan keluar, Azilah dijemput anggota keluarga dengan menaiki kereta. "Selepas itu, Azilah bersama bapa saudaranya menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid," katanya ketika dihubungi .

Kuldeep berkata Azilah memberitahu dia mahu berehat di rumah keluarga atau saudara mara. Wartawan mula berkumpul di tempat menunggu di luar Kompleks Penjara Kajang sejak 10.30 pagi dengan harapan dapat menemuramah Azilah serta merakamkan saat- saat pembebasan beliau.

Namun, mereka pulang dengan kekecewaan apabila gagal memperoleh maklumat lengkap mengenai waktu pembebasan Azilah daripada pegawai penjara yang bertugas.

Adik perempuan Azilah turut dilihat berada di luar pintu masuk kira-kira pukul 10.30 pagi, dengan menaiki sebuah kereta putih.

- BERNAMA

Artikel Lain