suria

PKR Gesa Kajian Keberhutangan PTPTN Sebelum Cadang Laksana CCRIS

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa supaya kajian keberhutangan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dilakukan sepenuhnya sebelum membuat cadangan untuk menyenaraikan peminjam dalam Sistem Rujukan Maklumat Kredit Berpusat (CCRIS).

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, sehingga kini pihaknya tidak pernah dimaklumkan sama ada sebarang kajian khusus telah dibuat oleh PTPTN atau Barisan Nasional (BN) untuk mengetahui kenapa majoriti peminjam PTPTN menghadapi kesukaran untuk membayar pinjaman.

"Kita perlu tahu profil pendapatan bulanan bersih peminjam PTPTN, profil kejayaan untuk mendapatkan kerja atau mendapatkan kerja yang setaraf dengan kelulusan atau jurusan, dan profil kualiti IPTS (Institusi Pengajian Tinggi Swasta) yang membawa kesan kepada kemampuan seorang peminjam mendapat kerja.

"Ini adalah contoh-contoh maklumat yang sangat diperlukan untuk membentuk satu pemahaman yang adil mengenai masalah keberhutangan golongan muda," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Keadilan di sini, Khamis.

Turut hadir ialah Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Cadangan yang dibuat oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh pada Isnin lalu bagaimanapun ditangguhkan selepas perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.

Rafizi berkata, BN mengambil pendekatan kasar dengan memukul rata kononnya semua peminjam PTPTN yang menghadapi kesukaran adalah golongan tidak bersyukur dan tidak bertanggungjawab.

"Menghukum atau menyenaraihitamkan adalah tindakan yang tidak adil kepada peminjam. Pendekatannya adalah pendekatan yang kasar," katanya.

Sehubungan itu, PKR menggesa Idris Jusoh supaya tidak pandai-pandai mengumumkan langkah baru menekan peminjam PTPTN sehinggalah maklumat-maklumat itu dikaji sepenuhnya dan dibentangkan kepada awam dan Parlimen.

Sementara itu, PKR akan merintis jalan ke arah memahami masalah keberhutangan peminjam PTPTN dengan melancarkan kaji selidik keberhutangan peminjam untuk mengumpulkan maklumat.

"Kaji selidik ini boleh disertai oleh semua peminjam PTPTN dengan mengisi satu borang kaji selidik yang boleh dicapai di laman web, www.siasatptptn.wordpress.com, dan akan disebarkan melalui laman sosial dan blog.

"Keputusan kaji selidik awal ini akan dibentangkan dalam satu perjumpaan tweetup #PTPTN yang akan diadakan di Perpustakaan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada pukul 8.30 malam Khamis 29 Ogos," katanya.

Beliau menambah, semua peminjam dan aktivis anti PTPTN serta pimpinan masyarakat dijemput turut serta dalam tweetup tersebut yang juga bertujuan untuk menyusun gerakan anti -PTPTN dalam sebuah pertubuhan rasmi yang lebih tersusun.

"Sudah tiba masanya peminjam-peminjam PTPTN membentuk satu pertubuhan lobi yang berpengaruh supaya mana-mana pihak berunding dengan mereka terlebih dahulu sebelum membuat cadangan, bagi mengelakkan berulangnya cadangan penyenaraian CCRIS," katanya.

Artikel Lain