suria

Pemilihan Umno: Wanita Umno Selangor Sokong Shahrizat

Shahrizat
Shahrizat
Shahrizat

SHAH ALAM: Wanita Umno Selangor, pada Khamis menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk terus menerajui pergerakan itu dalam pemilihan parti Oktober depan.

Ketua Wanita Umno Selangor Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah berkata ketetapan itu dibuat selepas Shahrizat dilihat menunjukkan prestasi membanggakan dan telah menepati janji-janji beliau sebelum mengambil alih jawatan tertinggi sayap parti.

"Datuk Seri Shahrizat, sejak mengambil alih kepimpinan Pergerakan Wanita Umno telah menepati janji-janjinya untuk membawa pembaharuan dan perubahan dalam sayap parti.

"Saya telah panggil mesyuarat dengan semua Wanita bahagian dan semua yang hadir melafazkan persetujuan mereka dan mahu sangat Datuk Seri Shahrizat terus menerajui sayap parti," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Umno Selangor, di sini, Khamis.

Raja Ropiaah berkata, Shahrizat telah berjaya melakukan transformasi politik yang mendapat sambutan ramai sepanjang lima tahun memimpin.

"Sambutan diterima bukan hanya daripada anggota Umno, tetapi juga rakyat jelata.

"Pendekatan yang dibawa beliau telah menambat hati nurani rakyat seperti Skuad Sayang, terutamanya bagi Selangor yang melakukan program-program menangani masalah dan pergi sehingga ke akar umbi untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan," katanya.

Raja Ropiaah berkata Konsep Jalinan Rakyat yang diketengahkan beliau juga memungkinkan Umno mencapai kemenangan cemerlang dalam pilihan raya umum ke-13.

"Kami pergi rumah ke rumah dan menjadi mata dan telinga serta mendengar luahan hati rakyat.

"Ini adalah pendekatan yang begitu baik sekali yang memungkinkan Umno, dalam pilihan raya lalu mendapat kejayaan yang agak cemerlang," katanya.

Jelasnya, dari segi kedudukan wanita, Shahrizat telah menampilkan lebih ramai calon bertanding dalam PRU-13 iaitu 71 calon, berbanding 48 calon pada pilihan raya sebelumnya.

"Calon-calon yang diketengahkan beliau telah mendapat prestasi agak tinggi dalam situasi politik yang agak mencabar dengan secara keseluruhan 80 peratus calon Wanita yang bertanding yang menang," jelasnya.

Mengenai pencabar, Raja Ropiaah berkata sesiapa sahaja boleh bertanding kerana pemilihan kali ini bersifat terbuka.

Katanya, dalam pemilihan berkonsep demokrasi perwakilan perlu bijak memilih pemimpin terbaik.

"Tetapi pada pandangan saya dan rakan-rakan tidak ada siapa yang lebih menyerlah selain Datuk Seri Shahrizat," katanya.

Setakat ini, hanya bekas Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Azalina Othman Said yang menyuarakan hasrat bertanding jawatan Ketua Pergerakan Wanita yang dimenangi Shahrizat pada pemilihan 2009.

Artikel Lain