suria

Kerajaan Tidak Mungkin Meterai TPPA Oktober Ini - MITI

SUBANG JAYA: Kerajaan tidak dijangka memeterai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pada Oktober ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ir Hamim Samuri.

"Saya tidak fikir ia akan berlaku pada Oktober ini, bukan hanya bagi Malaysia, tetapi negara-negara lain juga.

"Telah dimaklumkan bahawa terdapat jurang antara kementerian dan orang awam dan perbincangan akan diadakan selepas Sidang Kemuncak Ke-10 di Brunei," katanya kepada pemberita pada Forum Global Amalan Terbaik dalam Perkhidmatan Sehenti, di sini, Khamis.

Beliau berkata MITI akan terus berinteraksi dengan orang awam kerana negara-negara lain berdepan situasi yang sama yang berharapkan lebih banyak perbincangan.

"Kami perlu mengadakan perbincangan awam ini secara berterusan kerana terdapat terlalu banyak persepsi tentang TPPA oleh orang awam," kata Hamim.

Sementara itu, Forum Global Amalan Terbaik dalam Perkhidmatan Sehenti itu merupakan satu konsep baharu dalam menyediakan perkhidmatan.

Negara-negara seperti Kanada, United Kingdom, Australia, Portugal dan Brazil semuanya membangunkan pusat perkhidmatan sehenti bagi rakyat dan perniagaan mereka.

Forum itu menyediakan peluang bagi negara-negara lain untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik mereka dengan pengurus awam Malaysia.

Forum Global dibangunkan secara kerjasama dengan Institute for Citizen-Centred Service di Kanada, peneraju global dalam mengenal pasti amalan terbaik dalam perkhidmatan sehenti, serta kecemerlangan perkhidmatan sektor awam. - BERNAMA

Artikel Lain