suria

Insentif RM600,000 Untuk 300 Pasangan Ibu Bapa Tunggal Yang Berkahwin di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Seramai 190 pasangan daripada golongan ibu dan bapa tunggal yang berkahwin semula di Terengganu pada lapan bulan pertama tahun ini layak menerima insentif sebanyak RM2,000.

Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) Mohd Safaruddin Mustaffa berkata pihaknya memperuntukkan sebanyak RM600,000 tahun ini untuk program insentif perkahwinan tersebut.

Beliau berkata YPKT menyasarkan seramai 300 pasangan akan menikmati manfaat daripada insentif itu bagi mengurangkan beban perbelanjaan perkahwinan.

"Insentif ini adalah dana khas yang diberi kerajaan negeri Terengganu bagi menghargai golongan ibu dan bapa tunggal yang mahu membina semula keluarga selepas gagal dalam perkahwinan sebelum ini," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri YPKT di sini, Khamis.

Setiap ibu dan bapa tunggal akan menerima insentif perkahwinan sebanyak RM2,000 seorang dan jika ibu tunggal bertemu jodoh dengan bapa tunggal mereka akan menerima RM4,000.

Mohd Safaruddin berkata setakat ini 50 pasangan ibu dan bapa tunggal menerima insentif bagi perkahwinan masing-masing dan meminta mereka yang belum memohon supaya segera menghubungi yayasan tersebut.

Beliau berkata daripada 190 pasangan yang berkahwin semula, 96 pasangan bertemu jodoh antara ibu dan bapa tunggal, 68 ibu tunggal berkahwin dengan teruna dan 26 bapa tunggal berkahwin dengan anak dara.

Jumlah ibu dan bapa tunggal yang telah mendirikan rumah tangga mengikut Parlimen ialah Besut (18 pasangan), Kuala Nerus (12), Kuala Terengganu (23), Marang (29), Hulu Terengganu (25), Dungun (25), Kemaman (47) dan 11 pasangan di Setiu. -BERNAMA

Artikel Lain