suria

Agensi Berkaitan Jalankan Siasatan Berasingan Nahas di Genting Highlands

KUALA LUMPUR: Agensi berkaitan di bawah Kementerian Pengangkutan Jalan akan menjalankan siasatan masing-masing bagi mengenal pasti punca nahas bas di Genting Highlands yang meragut 37 nyawa.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata laporan siasatan itu akan dihantar kepada panel inkuiri yang diketuai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Katanya agensi berkenaan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) selain pihak polis.

Siasatan akan dijalankan dengan terperinci dan telus manakala laporan hasil siasatan juga akan diumumkan, katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa nahas di Hospital Kuala Lumpur di sini, petang ini.

Apabila diajukan soalan mengenai jangka masa siasatan itu perlu disiapkan, beliau berkata: "Kita perlu biarkan agensi-agensi menjalankan siasatan yang perlu.

"Kita perlu berikan sedikit masa untuk membolehkan agensi-agensi melakukan siasatan menyeluruh untuk memastikan orang ramai puas hati, supaya (kemalangan buruk sebegitu) tidak berulang". Beliau juga menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi serta menuding jari kepada mana-mana pihak. "Saya sedih dan cukup dukacita dengan apa yang berlaku. Saya harap spekulasi dan isu yang menimbulkan emosi mesti dibendung, ia tidak adil kepada mereka yang terlibat. "Kita akan lakukan yang terbaik untuk mengetahui punca sebenar," katanya.

Hishammuddin berkata satu badan bebas akan ditubuhkan di Kementerian Pengangkutan yang akan berfungsi mengumpul dan menyelaras maklumat berkaitan n kemalangan jalan raya selain sebagai platform untuk orang awam menyalurkan maklumat berkenaan kemalangan jalan raya.

"Kumpulan ini akan membantu saya melihat dan mengkoordinasi maklumat yang datang dari pelbagai pihak. Tidak ada lebih dari itu, ia tidak ada kuasa," katanya.

Sementara itu, pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar yang turut hadir pada lawatan itu berkata badan itu telah menubuh satu panel inkuiri mengenai nahas tersebut seperti yang diarahkan oleh Timbalan Perdana Menteri semalam.

Panel tersebut berfungsi mengumpul and mengkaji semua laporan yang dibuat oleh pihak-pihak berkaitan mengenai nahas tersebut, sebelum meneliti dan membuat satu laporan yang mengandungi syor-syor penambahbaikan keselamatan jalan raya untuk diserahkan kepada kerajaan, katanya.

"Perkara ini tidak boleh tergesa-gesa kerana terdapat banyak butiran. Kita tidak mahu meletakkan kesalahan pada sesuatu yang kita belum buat penelitian. . Kita tunggu (laporan siasatan) polis dan Miros, dengan itu kita akan dapat idea lebih baik, mungkin puncanya pelbagai," katanya.

Hishammuddin dan Syed Hamid juga menafikan bus tersebut telah disenarai hitam dan terlebih muatan pada hari kejadian. -BERNAMA

Artikel Lain