suria

Pemimpin Melayu DAP Serah Kepada Perwakilan Buat Keputusan

PETALING JAYA: Pemimpin Melayu DAP yang akan bertanding dalam pemilihan baharu jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) akan datang menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan nasib mereka.

Senator Dr Ariffin S.M. Omar, antara pemimpin Melayu yang dicalonkan tetapi tidak dipilih sebelum ini berkata, beliau tidak mahu membuat spekulasi mengenai peluangnya kali ini.

"Saya akan menerima keputusan dan pilihan yang dibuat oleh perwakilan. Ini bukan perkara yang saya suka atau tidak suka," katanya.

Bekas pensyarah Universiti Pertahanan Nasional ini berkata beliau masih baharu dan tidak dikenali ketika mula-mula bertanding dalam pemilihan CEC tahun lepas.

"Saya baru sahaja dilantik sebagai senator tetapi menerima sebanyak 400 undi, satu angka yang agak baik," katanya.

Pada mulanya, lapan pemimpin Melayu di kalangan 66 calon bertanding untuk 20 jawatan dalam CEC gagal dalam pemilihan.

Tetapi selepas pengiraan semula, Zairil Khir Johari telah memenangi kerusi dengan 803 undi.

Ariffin juga kemudiannya dilantik sebagai naib pengerusi DAP dan ke dalam CEC.

Tetapi pelantikan Ariffin, 64, dengan kedudukan beliau di universiti, mempunyai satu dasar sekatan untuk beliau memegang jawatan dalam parti politik.

"Saya tahu saya terpaksa meletakkan jawatan atau berdepan tindakan disingkirkan," katanya.

Zairil, yang merupakan setiausaha politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, beliau percaya perwakilan akan memilih calon yang terbaik tanpa mengira kaum.

"Hakikatnya ialah kita mahu pemimpin yang terbaik dan beralih daripada isu bangsa," kata Ahli Parlimen Bukit Bendera berusia 30 tahun ini yang minggu lalu berkata beliau akan bertanding semula untuk kerusi untuk membuktikan bahawa pertandingan awal tidak sah seperti yang didakwa.

Naib Pengerusi DAP Johor Ahmad Ton berkata terpulang kepada perwakilan sama ada mereka mahu memilih beliau atau sebaliknya.

"Saya sudah berumur 68 tahun dan telah lama menjadi ahli," kata ahli veteran ini yang telah bersama parti sejak tahun 1975.

Calon-calon Melayu lain yang bertanding sebelum ini adalah Timbalan Pengerusi Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, ahli jawatankuasa P.Pinang Zulkifli Mohd Noor, Roseli Abdul Ghani, Pengerusi cawangan Desa Manjung Solaiman Op Syed Ibrahim dan Harun Ahmad.

Pada Sabtu, pengerusi parti Karpal Singh mengumumkan bahawa DAP akan mengekalkan senarai calon dan perwakilan yang sama untuk mengambil bahagian dalam pemilihan parti yang diadakan di Pulau Pinang pada 15 Disember tahun lepas.

Pendaftar Pertubuhan mengarahkan DAP mengadakan pemilihan baharu berikutan kontroversi yang melibatkan pengiraan dan aduan daripada ahli-ahli.

Pemilihan baharu dijadualkan akan diadakan pada awal November.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain