suria

Suraya Tawar Diri Tanding Naib Ketua Wanita Umno

ALOR SETAR: Exco Pergerakan Wanita Umno Malaysia, Datuk Suraya Yaacob hari ini menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan Naib Ketua Wanita Umno pada pemilihan parti itu Oktober depan.

Beliau berkata keputusan itu dibuat dua minggu lepas setelah mengambil kira faktor kepentingan wakil dari negeri ini untuk memegang jawatan tertinggi dalam parti itu.

Hasrat itu juga telah dinyatakan kepada kepimpinan Wanita Umno negeri serta Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam satu pertemuan semalam, kata Suraya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang pada sidang media di sini, Selasa.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi itu turut menyangkal dakwaan beliau bertanding disebabkan bekas Ketua Puteri Umno Datuk Seri Azalina Othman Said mahu mencabar Shahrizat bagi jawatan Ketua Wanita Umno.

"Ini hanya persepsi di kalangan ahli Umno, memandangkan saya pernah memegang jawatan dalam Puteri ketika Azalina menjadi Ketua Puteri ketika itu," katanya.

Suraya, 44, pernah memegang jawatan Ketua Penerangan Puteri Umno, Bendahari Puteri dan Ketua Puteri Kedah.

Artikel Lain