suria

Penemuan Bahan Disyaki Syabu Dalam Dompet Polis Disiasat

KUANTAN: Penemuan sejumlah serbuk dan ketulan kristal dipercayai syabu yang ditemui dalam dompet seorang pegawai kanan polis yang cedera parah dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini masih dalam siasatan.

Ketua Polis Pahang Datuk Datuk Sharifuddin Abd Ghani berkata, pihaknya menunggu laporan daripada doktor mengenai keadaan pegawai berkenaan untuk kembali stabil sebelum siasatan lanjut dibuat.

"Sekarang keadaannya masih tidak stabil dengan mengalami patah lutut kiri dan pendarahan pada bahagian perut," katanya kepada pemberita pada majlis derma darah anjuran Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia di sini, Selasa.

Sebelum ini media melaporkan seorang pegawai kanan polis cedera parah apabila kereta yang dipandunya melanggar belakang lori treler membawa muatan konkrit di Jalan Kuantan-By Pass baru-baru ini.

Ketika kejadian pegawai berkenaan dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Gebeng.

Serbuk dan ketulan kristal itu ditemui pihak hospital ketika pegawai berkenaan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA).

Mengulas mengenai situai jenayah di negeri ini, Sharifuddin berkata, keadaan jenayah di Pahang masih terkawal dengan mendapat kerjasama baik daripada orang awam.

Katanya, anggota risikan juga tidak perlu ditingkatkan memandangkan jumlah yang ada kini sudah mencukupi untuk memantau sebarang jenayah di negeri ini. BERNAMA

Artikel Lain