suria

Pemandu Teksi Di Sebalik Bata Yang Dibaling Di Cheras

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi 'tertekan' telah didedahkan sebagai punca terhadap kejadian membaling bata dari atas jejantas terhadap kenderaan di Cheras.

Lelaki 43 tahun, yang ditahan oleh pihak polis pada Isnin, mengaku 'melegakan tekanan' dengan membaling bata di jalan raya berhampiran Taman Connaught sejak awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh berkata, polis percaya lelaki itu bertanggungjawab untuk sekurang-kurangnya dua kejadian.

"Lelaki itu mendakwa membaling bata dapat melegakan tekanan.

"Kami tidak percaya dia berbuat demikian untuk mendapatkan pelanggan untuk teksinya," katanya sambil menambah, penangkapan itu dilakukan berikutan maklumat daripada orang ramai.

Bercakap kepada sidang media pada Selasa, ACP Mohan berkata polis akan membiarkan Timbalan Pendakwa Raya memutuskan sama ada lelaki itu waras dan patut didakwa.

Sebelum ini dilaporkan satu pasukan petugas polis sedang menyiasat insiden di mana batu-bata telah dilemparkan ke kereta dari jambatan pejalan kaki di Cheras.

Dua laporan polis telah dibuat bulan ini berhubung kejadian.

Kes ketiga dan terkini telah dipaparkan di laman Facebook Kempen Kesedaran Jenayah Malaysia pada Jumaat.

Ivy Leong, yang berkongsi pengalaman beliau dengan pentadbir halaman, berkata beliau dan keluarganya sedang menuju ke arah Petaling Jaya berhampiran Taman Connaught di Cheras pada pukul 4 petang hari itu.

"Ia berlaku betul-betul di bawah jambatan McDonald di Taman Connaught.

"Dalam sekelip mata, batu itu terbang ke kereta saya," katanya, sambil menambah beliau dan keluarganya mengalami luka akibat cermin pecah.

Artikel Lain