suria

Kelangsungan Kerabat Diraja...

Putera William (kanan) bersama Kate Middleton mendukung anak mereka Prince George.
Putera William (kanan) bersama Kate Middleton mendukung anak mereka Prince George.
Putera William (kanan) bersama Kate Middleton mendukung anak mereka Prince George.

APABILA Putera William dan Catherine, Duke dan Duchess of Cambridge, melawat Malaysia tahun lalu, mereka menerima sambutan yang amat meriah.

Hampir kesemua akhbar serta saluran televisyen dan radio memberi liputan yang meluas.

Nyata sekali kerabat diraja Britain ini bukan sahaja popular di Britain. Malah kerabat yang lebih dikenali boleh dikatakan berstatus selebriti global.

Ke mana sahaja mereka pergi, mereka akan menerima layanan istimewa dan orang ramai pasti teruja jika boleh bertemu dengan mereka.

Baru-baru ini, iaitu pada 22 Julai, keluarga diraja Britain sekali lagi menjadi tumpuan ramai, apabila Catherine melahirkan seorang putera iaitu pewaris ketiga dalam senarai. Putera baru ini dinamakan George.

Seluruh dunia menanti dengan penuh teruja sebaik sahaja Catherine mula sakit hendak bersalin. Wartawan daripada seluruh pelusuk dunia berkumpul di hadapan Hospital St Mary di tengah kota London untuk menanti saat kelahiran putera yang bakal menjadi Raja Britain satu hari nanti.

Tetapi sudah pasti ada juga pihak yang tidak begitu mengambil berat. Salah satunya ialah kumpulan yang dinamakan Republic yang telah memulakan kempen #bornEqual (tanda hashtag menunjukkan kempen mereka berjalan di alam siber melalui twitter).

Kumpulan Republic mendakwa mempunyai 10 hingga 12 juta orang penyokong, termasuklah golongan terkenal dan juga ahli-ahli parlimen yang disenaraikan di laman sesawang mereka.

Mereka berkempen secara terbuka untuk menghapuskan institusi diraja Britain kerana berdasarkan apa yang ditulis di laman sesawang mereka, kumpulan ini merasakan bahawa “Mewarisi jawatan awam melalui keturunan adalah bertentangan dengan semua prinsip demokrasi.

Dan oleh kerana kita tidak boleh mempertanggungjawabkan Baginda Permaisuri dan kelurga diraja melalui proses pilihan raya, tidak ada apa-apa yang menghalang mereka daripada menyalahgunakan kedudukan dan pengaruh mereka, ataupun membazirkan wang kita sebagai rakyat.”

Kumpulan Republic ini juga mendakwa bahawa keluarga diraja Britain adalah “mahal, tiada akauntabiliti dan memperlahankan proses demokrasi”.

Dalam kempen #bornEqual yang mereka lancarkan sempena kelahiran Putera George, mereka menyeru rakyat Britain bertanya:

> Bukankah lebih wajar setiap bayi dianggap sama rata dari segi status dan hak politik?

> Bagaimana mungkin seorang bayi yang baru lahir lebih mulia dari orang lain dan dijamin menjadi orang besar semata-mata kerana kedudukan ibu-bapanya dan bukan kerana kebolehannya?

> Bukankah sekarang ini lebih sesuai jika jawatan tertinggi negara dipilih melalui undi popular dan bukan kerana keluarganya?

Kempen yang dijalankan oleh Republic untuk memansuhkan institusi monarki di Britain sebenarnya telah bermula sejak awal 1980-an lagi. Mereka memang mempunyai penyokong, termasuklah daripada pihak media.

Contohnya, sehari selepas Putera George dilahirkan, akhbar Guardian menerbitkan sebuah artikel tulisan editor bersekutu mereka, Seumas Milne, yang membawa mesej yang sama dengan Republic.

Milne mempersoalkan kuasa-kuasa yang dimiliki oleh monarki Britain, termasuk hak untuk melantik perdana menteri dan membubarkan parlimen.

Pengarang itu juga mendakwa bahawa Baginda Permaisuri mempunyai pengaruh secara senyap ke atas perdana menteri kerana mereka bertemu setiap minggu.

Walaupun ada protes dan kritikan, namun keluarga diraja Britain terus disayangi oleh jutaan manusia dari seluruh dunia.

Cara keluarga diraja ini menyesuaikan diri dengan tuntutan zaman moden adalah sangat menakjubkan khususnya dengan memastikan banyak maklumat mengenai mereka boleh diakses dengan mudah oleh orang awam.

Jika kita melawat laman sesawang rasmi keluarga diraja Britain, kita akan nampak betapa mereka amat serius dalam hal ini. Banyak maklumat yang boleh diperolehi - daripada sejarah kehidupan mereka sehinggalah kepada aktiviti seharian anggota kerabat yang kanan.

Malahan maklumat mengenai berapa jumlah kereta rasmi Baginda Permaisuri pun ada dinyatakan. Semasa saya membaca laman tersebut, dinyatakan bahawa Baginda mempunyai lapan kereta rasmi, iaitu dua buah Bentley, tiga Rolls Royce dan tiga Daimler.

Laman sesawang itu menyatakan bahawa keluarga diraja Britain juga tertakluk kepada had laju biasa apabila mereka menggunakan jalan raya.

Baginda Permaisuri turut menerbitkan laporan kewangan tahunan yang memperincikan maklumat pendapatan dan perbelanjaan keluarga diraja.

Laporan kewangan tersebut boleh dicapai secara percuma daripada laman www.royal.gov.uk. Ia dibentangkan kepada parlimen agar para ahli parlimen boleh memeriksa bagaimana keluarga diraja Britain membelanjakan duit yang diberikan oleh rakyat.

Paling signifikan, Baginda Permaisuri sebagai raja yang bertakhta di Britain jarang sekali masuk campur dalam perdebatan isu-isu politik.

Jarang sekali untuk mendengar Baginda memberi komentar mengenai isu-isu semasa. Malahan, Baginda tidak bersuara pun apabila kumpulan seperti Republic ataupun media menuntut agar institusi diraja Britain dihapuskan atau keluarga Baginda dikritik.

Di Britain, tiada undang-undang yang menghalang rakyat daripada memperdebatkan kelakuan ataupun masa depan keluarga diraja.

Maka penghormatan yang mereka terima adalah tulin dan tidak dipaksa.

Sikap tidak masuk campur dalam isu semasa, boleh menerima kritikan dan kecaman, serta keterbukaan untuk menjadi lebih telus dan berakauntabiliti menjadikan keluarga diraja Britain dianggap lebih tinggi dari politik sekaligus mengizinkan rakyat Britain melihat keluarga diraja sebagai simbol perpaduan yang sebenar.

Kempen mendesak penghapusan institusi diraja Britain mungkin mendapat lebih banyak sambutan jika keluarga diraja mereka enggan berubah mengikut tuntutan rakyat zaman moden ini.

Tetapi usaha untuk menjadi relevan dan lestari oleh keluarga diraja Britain nampaknya berjaya menjadikan mereka terus disayangi oleh majoriti rakyat negara itu, dan juga berjuta-juta manusia lagi di seluruh dunia.

Wan Saiful Wan Jan ialah ketua eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (www.ideas.org,my).

Artikel Lain