suria

Dua Skuad Khas Bt Aman Perangi Jenayah & Pengedaran Dadah

JAKARTA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited memelihara keamanan dan kesejahteraan rakyat dan telah menubuhkan dua skuad khas di Bukit Aman bagi memerangi jenayah serta kegiatan pengedaran dadah di dalam negara.

Kedua-dua skuad khas itu, katanya, akan memberi tumpuan khusus kepada kumpulan sasaran tanpa melalui saluran birokrasi biasa kepolisan.

Menanggapi kebimbangan rakyat terhadap kadar jenayah yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini, Ahmad Zahid berkata mereka ada asas untuk berasa sedemikian.

"Mereka mempunyai asas untuk berasa bimbang kerana kadar kejadian tembak dan pembunuhan berlaku hampir setiap minggu. Saya mempunyai bukti peningkatan dari segi statistik jenayah indeks terutamanya di kawasan-kawasan 'red spots'," katanya.

Ahmad Zahid ditemui selepas menghadiri Persidangan Khas Mengenai Pergerakan Manusia Secara Tidak Sah di sini, pada Selasa.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, pelaksanaan Ops Cantas oleh PDRM adalah bukti komitmen berterusan pasukan itu bagi mengembalikan keyakinan rakyat selepas Ordinan Darurat (EO) dan Akta Kediaman Terhad dihapuskan.

Ops Cantas ialah antara langkah proaktif PDRM dalam memberi tumpuan kepada usaha pencegahan jenayah di seluruh negara khususnya selepas berlaku sejumlah kes tembak di Malaysia sejak akhir-akhir ini.

"Langkah-langkah yang dibuat ini jangan pernah disanggah oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik yang merasakan kita telah melakukan sesuatu di luar batas-batas yang diizinkan," katanya.

Ahmad Zahid berkata, para penjenayah yang ditahan pihak berkuasa dalam Ops Cantas akan didakwa berlandaskan siasatan terperinci berserta bukti dan saksi ke pengadilan untuk hukuman kerana undang-undang pencegahan bagi membolehkan penahanan tanpa perbicaraan sudah tidak ada.

"Jika mereka (penjenayah) melakukan langkah yang agresif maka PDRM tak ada pilihan selain mempertahankan diri. Apa yang berlaku penjenayah mencabar PDRM dan kehilangan nyawa tidak dapat dielakkan jika tindakan agresif ini dilakukan oleh mereka," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain