suria

Tiada Kenaikan Caj Perkhidmatan Penumpang Di KLIA2

SEPANG: Caj perkhidmatan penumpang (PSC) di KLIA2 adalah sama dengan kos di terminal penerbangan tambang rendah (LCCT), kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi.

Beliau berkata ia tidak akan membebankan penumpang memandangkan kos itu akan ditanggung oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

"Tiada peningkatan. Anda bayangkan perkhidmatan di LCCT yang mereka hadapi pada masa ini, mereka akan mendapat lapangan terbang baharu pada fi lapangan terbang yang sama.

"Ia tidak membebankan penumpang. MAHB akan menanggung kos memandangkan MAHB merupakan syarikat yang mengurus terminal ini, dan bagi pembiayaan, MAHB memperolehnya menerusi bon Sukuk dan mereka memperolehnya secara persendirian, tanpa jaminan kerajaan," katanya.

Aziz berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat ketiga pasukan petugas khas KLIA2 di sini pada Isnin.

PSC semasa di LCCT ialah RM32 bagi penumpang antarabangsa dan RM6 untuk penumpang domestik.

Aziz yang mengetuai pasukan petugas KLIA2 itu berkata pembinaan lapangan terbang kini 92 peratus siap dan bangunan terminal 96 peratus siap, dengan 20 pakej utama sudah selesai.

Ia meliputi sistem penyejukan, trek ERL, laluan pesawat yang menghubungkan Landasan 2 ke KLIA2, kawalan trafik udara (ATC), menara, pemasangan peralatan ATC, jejantas ke terminal, apron parkir pesawat, serta semua kerja-kerja perparitan dan utiliti utama yang berkaitan.

Aziz berkata KLIA2 akan siap pada 30 April tahun depan dan akan beroperasi pada 2 Mei.

"Kami mahu memastikan tidak lagi berlaku kelewatan dan saya memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku kelewatan lagi serta tarikh penyiapan ialah pada 30 April," katanya dan menambah, kos KLIA2 ialah sebanyak RM4 bilion.

Beliau berkata tidak ada kos melampau dalam pembinaan memandangkan skopnya telah diperluas bagi menampung keperluan pemegang kepentingan.

Sementara itu, dalam satu kenyataan kementerian itu berkata komponen kerja yang berlaku kelewatan akan disemak semula oleh pasukan projek MAHB KLIA2 untuk penilaian semula oleh kontraktor pihak ketiga, jika kontrak terbabit tidak dapat memenuhi tarikh penyiapan.

Ia berkata beberapa kerja yang ditugaskan kepada kontraktor baharu membabitkan jalan perkhidmatan, bangunan pasukan menyelamat dan kebakaran lapangan terbang serta sistem pengendalian bagasi. BERNAMA

Artikel Lain