suria

Teng Nafi Lesapkan Dana Awam RM500,000

GEORGE TOWN: Bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow hari ini menafikan 'melesapkan' dana kerajaan RM500,000 dan menegaskan ia satu fitnah.

Katanya, tuduhan dilemparkan Ketua Menteri Lim Guan Eng itu tidak berasas kerana ketika memegang jawatan pengerusi BN negeri, beliau tidak pernah mendapat sebarang peruntukan dana daripada kerajaan pusat.

"Tuduhan Lim bahawa saya "melesapkan" wang dana peruntukan dari kerajaan pusat sebanyak RM500,000 untuk diserahkan kepada sebuah tokong di Bukit Tengah, Bukit Mertajam adalah tidak benar.

"Saya mencabar Lim untuk membuat laporan polis sekiranya tuduhan beliau itu berasas dan laporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sekiranya timbul unsur penyelewengan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat tahunan Gerakan Bahagian Jelutong di sini.

Dalam laporan dua akhbar berbahasa Cina minggu lepas, Lim dipetik sebagai mendakwa Teng telah melarikan peruntukan wang RM500,000 yang sepatutkan diberi kepada sebuah tokong Cina di Bukit Mertajam.

Teng berkata beliau sedang berbincang dengan penasihat undang-undangnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Lim dan dua akhbar berbahasa Cina itu.

Katanya tuduhan dan laporan tidak tepat itu telah menjejaskan kredibilitinya dan sehubungan itu perlu bertindak untuk membersihkan namanya.

"Saya mengesa Lim untuk membuat laporan yang sepatutnya dan saya bersedia memberikan kerjasama kepada mana-mana pihak yang membuat siasatan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain