suria

Remaja 18 Tahun Disabitkan Kesalahan Bunuh 4 Sekeluarga

SIBU: Mahkamah Tinggi di sini mensabitkan seorang remaja berumur 18 tahun terhadap empat pertuduhan bunuh mengikut Seksyen 302 dan satu cubaan bunuh mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Hakim Supang Lian menangguhkan hukuman kepada 23 September berikutan tertuduh berumur bawah 18 tahun semasa dia melakukan jenayah itu.

Beliau mengarahkan supaya laporan akhlak, rayuan, penghujahan pendakwa raya dan pernyataan impak daripada keluarga mangsa, jika ada, dikemukakan dalam tempoh sebulan mulai Isnin.

Supang berkata remaja itu memilih untuk berdiam diri terhadap keterangan yang dikemukakan semasa kes pembelaan dan pendakwaan turut membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Remaja itu didapati bersalah membunuh ahli perniagaan Ling Tong Hock, 36, ibunya Leong Nyuk Lan, 76, dan dua anaknya David Ling Chei Qi, 10, serta Amy Ling Zi Jiun, tujuh, di rumah meeka di Jalan RTM kira-kira 7 pagi pada 3 Januari 2012.

Dia turut didapati bersalah terhadap dakwaan cuba membunuh anak lelaki ahli perniagaan itu, Kelvin Ling Chie You, 8, pada hari, tempat dan masa yang sama.

Remaja terbabit yang merupakan jiran mangsa, diwakili peguam Darel Ling Huang Hui manakala Timbalan Pendakwa Raya Musli Ab.Hamid menjalankan pendakwaan. BERNAMA

Artikel Lain