suria

Mekanik Ditahan, Dua Kenderaan Hilang Ditemui

GEORGE TOWN: Polis menahan seorang lelaki dan menemui semula dua kenderaan yang dilapor hilang di Queensbay dan Pulau Tikus di sini awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Mohd Hatta Mohd Zain berkata hasil risikan dan maklumat awam, polis berjaya menjejaki dan menahan suspek yang dikenali sebagai Chee Chun Heng, 31, di rumahnya di Jalan Penanti, Bukit Mertajam pada pukul 1 pagi tadi.

"Dengan penahanan lelaki itu, kita berjaya menjumpai semula kereta jenis Toyota Camry yang dilapor hilang di Queensbay petang semalam dan sebuah lagi kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang hilang di Pulau Tikus dua bulan lepas," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel di Butterworth dan dia ditahan reman mulai hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379(A)(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. -BERNAMA

Artikel Lain