suria

Lengan Kren Hempap Kereta: TRC Kerjasama Dengan Pihak Berkuasa Jalankan Siasatan

KUALA LUMPUR: Trans Resources Corporation Sdn Bhd (TRC)akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa susulan insiden lengan kren menghempap sebuah kereta yang diguna dalam projek penyambungan landasan LRT di Subang Jaya Sabtu lepas.

Pengerusi Eksekutif TRC Datuk Seri Sufri Mohd Zin berkata syarikat itu akan bekerja dengan agensi seperti Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dalam siasatan yang dijalankan berhubung insiden itu.

Beliau berkata pihak pengurusan dan kakitangan syarikat melahirkan kekesalan berikutan kesulitan yang dialami mana-mana pihak disebabkan kemalangan itu.

"Kami juga akan memantau dan mempertingkatkan prosedur keselamatan di kawasan tapak dan akan mematuhi sebarang nasihat serta keputusan yang dibuat pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan di sini Isnin.

Sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan di USJ2/3 Subang Jaya, berdekatan pusat beli-belah Summit, dihempap lengan kren dari tapak pembinaan landasan LRT Sabtu lepas.

Insiden itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan. -BERNAMA

Artikel Lain