suria

Kerajaan Kedah Perlu Bayar Segera Tunggakan Gaji Kakitangan Insaniah Holding - Mahfuz

KUALA LUMPUR: PAS pada Isnin mendesak kerajaan negeri Kedah supaya menyelesaikan segera bayaran tunggakan gaji kira-kira 268 kakitangan Insaniah Holding Sdn Bhd yang didakwa tidak dibayar sejak Mei lalu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan kerajaan negeri itu didakwa memberi beban kepada kakitangan-kakitangan anak syarikat di bawah Kolej Universiti Insaniah (Kuin) berkenaan.

"Seramai 268 kakitangan anak syarikat Kuin itu sehingga hari ini tidak dibayar gaji. Kalau genap Ogos ini, sudah empat bulan gaji mereka tertunggak.

"Ada di antara mereka (kakitangan) mendakwa tidak membayar yuran anaknya di sekolah agama selama dua bulan, ada yang tidak bayar kereta sampai berbulan-bulan dan ada yang tidak bayar hutang rumah.

"Saya amat kecewa dengan apa yang berlaku dan saya fikir tindakan itu tidak sewajarnya dilakukan oleh kerajaan negeri Kedah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini, Isnin.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, kerajaan negeri Kedah juga perlu menjelaskan status jawatan kakitangan-kakitangan tersebut yang didakwa tiada kaitan dengan Kuin.

"Insaniah Holding Sdn Bhd diwujudkan oleh Kuin Sdn Bhd iaitu anak syarikat yang ditubuhkan kerajaan negeri Kedah semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Jelas beliau lagi, sekiranya kerajaan negeri Kedah tidak berpuas hati dengan pengurusan Insaniah Holding Sdn Bhd dan Kuin Sdn Bhd, mereka boleh melakukan penstrukturan semula tetapi ia mesti dibuat mengikut proses yang betul.

"Itu hak mereka (untuk lakukan rombakan) tetapi hak seramai 268 kakitangan Isaniah Holding Sdn Bhd tidak boleh dinafikan," ujarnya.

Dua minggu lepas, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata akan mencari jalan penyelesaian terbaik dalam mengatasi masalah kakitangan Insaniah Holding Sdn Bhd itu.

Menurut Mukhriz, isu tuntutan gaji tertunggak itu tidak sepatutnya diajukan kepada kerajaan negeri kerana ia tiada kaitan secara langsung dengan Insaniah Holding.

Artikel Lain