suria

Hishammuddin Wakil Tunggal Umno Johor Tanding Naib Presiden

PONTIAN: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan menjadi wakil tunggal Umno Johor bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan parti Oktober ini.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Badan Perhubungan Umno Johor hari ini yang dipengerusikan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Hishammuddin ketika diminta mengulas perkara itu menyatakan rasa terharu dengan sokongan yang ditunjukkan Umno Johor untuk beliau mempertahankan jawatan tersebut.

"Saya rasa begitu terharu dengan keputusan tersebut...saya rasa bangga dan bertuah sangat apabila mendapat mandat daripada rakan-rakan di Johor," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Umno Bahagian Pontian di sini, Ahad.

Turut hadir pada majlis yang dihadiri lebih 5,000 penduduk itu ialah Timbalan Menteri Kewangan yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Pontian Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Umno Bahagian Pontian Datuk Ir Hasni Mohammad.

Ketika diminta mengulas keputusan DAP yang akhirnya akur dengan arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), Hishammuddin berkata ini menunjukkan tindakan ROS sebelum ini adalah tepat.

"Walaupun banyak tuduhan telah dilemparkan namun tindakan terbaru DAP ini membuktikan pihak mana yang benar dan pihak mana yang mengikut emosi," katanya. BERNAMA

Artikel Lain