suria

Adnan Tidak Tanding Jawatan Tertinggi Umno

KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mengesahkan tidak akan bertanding mana-mana jawatan tertinggi pada pemilihan Umno ini.

Beliau yang juga Pengerusi Umno Pahang berkata beliau hanya akan mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Bentong.

"Saya mahu memberi fokus kepada usaha memperkasakan Umno dan Barisan Nasional (BN) Pahang untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri bersama Majlis Mahasiswa Anak-Anak Pahang (Mampan) di Kompleks Yayasan Pahang, di sini, Ahad.

Beliau berkata Umno Pahang akan mengadakan lebih banyak sesi perbincangan dengan pelbagai pihak mewakili masyarakat Cina, India dan Orang Asli untuk mendapatkan maklum balas dalam usaha memperkasakan parti itu.

Dalam perkembangan lain, Adnan berkata Yayasan Pahang bersedia membantu kerajaan membawa pulang penuntut Malaysia di Mesir sekiranya keadaan di negara itu semakin buruk.

Terdapat 680 penuntut tajaan Yayasan Pahang di Mesir, katanya. BERNAMA

Artikel Lain