suria

Rumah Pengurus Syarikat Keselamatan Dilontar Bom Petrol

KLANG: Rumah seorang pengurus syarikat keselamatan di Jalan Aman Perdana 4C/KU5 di Taman Aman Perdana di sini dilontar bom petrol awal pagi Ahad.

Pemilik rumah yang hanya dikenali sebagai Muthiah, 54, berkata kejadian pada 2.20 pagi itu menyebabkan halaman rumah dan bahagian belakang kereta jenis Mazda milik isterinya rosak akibat terbakar.

Beliau yang merupakan pengurus sebuah syarikat keselamatan, menyedari halaman rumahnya terbakar ketika keluar ke ruangan itu selepas mendengar salakan anjingnya.

"Simen halaman rumah dan bahagian belakang kereta isteri saya terbakar. Saya juga nampak ada serpihan botol kaca pecah disitu," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini.

Muthiah berkata dua pengawal keselamatan yang bertugas di kawasan perumahannya memberitahu mereka ternampak dua lelaki bermotosikal berhenti di hadapan rumahnya dan membaling sesuatu.

"Bagaimanapun mereka tidak sempat mencatat nombor pendaftaran motosikal yang dinaiki dua lelaki itu," katanya yang membuat laporan polis hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara Supt Jani Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain