suria

Peperiksaan Ulangan Pelajar Malaysia Di Mesir Ditangguhkan

KUALA LUMPUR: Peperiksaan ulangan pelajar Malaysia di institusi pengajian tinggi Mesir yang dijadualkan Ogos ini telah ditangguhkan ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini Education Malaysia Egypt (EME) telah mendapat pengesahan daripada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Mesir tentang penangguhan tersebut.

"Memandangkan terdapat sebahagian kecil pelajar yang perlu menduduki peperiksaan ulangan, maka usaha ini diambil bagi menjaga keselamatan dan kepentingan pengajian para pelajar Malaysia di Mesir," menurut kenyataan itu.

Menurutnya lagi, Kementerian Pengajian Tinggi Mesir juga akan mengambil tindakan kepada mana-mana universiti yang tidak mematuhi arahan tersebut.

Pada Sabtu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata kerajaan memandang serius pergolakan di Mesir yang semakin meruncing dan langkah-langkah sedang diambil untuk memastikan keselamatan lebih 3,200 pelajar Malaysia di negara itu terjamin.

Krisis di Mesir semakin memuncak apabila tercetus pentempuran antara pihak berkuasa keselamatan dengan penyokong bekas presiden Mesir Mohamed Morsi, menyebabkan ramai yang terkorban dan ribuan lain cedera.

Ketika dihubungi Bernama, Ahad, Pengarah Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar Jabatan Pengajian Tinggi KPM Ibrahim Ali berkata pada keseluruhannya terdapat 11,145 pelajar Malaysia di Mesir.

Bagaimanapun, 7,845 pelajar Malaysia sudah pulang bercuti semester di tanah air ketika ini dan terdapat 3,300 pelajar Malaysia yang masih berada di sana kerana mereka perlu menduduki peperiksaan ulangan.

Kebanyakan mereka adalah pelajar jurusan perubatan dan pengajian Islam, katanya. Menurut kenyataan itu, ibu bapa dan pelajar dinasihatkan agar merujuk kepada KPM berhubung status terkini berkenaan pengajian di Mesir.

Sebarang pertanyaan dan maklumat terkini boleh menghubungi bilik operasi KPM di talian 03-88706611 dan 03-88706627.

Artikel Berikut

Artikel Lain